Bersatu bukan Umno, Dr Mahathir cuba lagi ubah orang Melayu


Noor Azam Shairi

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad mengingatkan orang Melayu tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada parti politik atau kerajaan untuk mengubah nasib mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2018.

APAKAH yang baharu dalam ucapan Dr Mahathir Mohamad malam tadi semasa merasmikan perhimpunan agung tahunan Bersatu, parti yang sekarang beliau jadi pengerusi?

Dari kerangka besarnya, tiada apa yang baru dalam ucapan itu. Beliau mengupas tentang kedudukan orang Melayu sekarang dan apa yang perlu mereka lakukan demi masa depan.

Itulah juga sebahagian besar tema ucapannya selama jadi presiden Umno antara 1981 dan 2003. Tiada banyak yang berubah.

Ucapannya mengulang-ulang naratif yang sama, malah menggunakan perkataan dan contoh yang sama: tentang Melayu dan tongkat, tentang sikap dan nilai, tentang nasib dan takdir.

Cumanya, ucapan malam tadi dibuat dalam konteks persekitaran politik yang sudah berubah. Dr Mahathir masih lagi mengetuai kerajaan tetapi bukan lagi melalui Umno dalam Barisan Nasional (BN) sebaliknya Bersatu dalam Pakatan Harapan (PH).

“Umno sudah hancur, dihancur oleh pemimpin yang tamak dan anggap manusia boleh dibeli dengan duit.

“Sebuah parti yang mulia, dibangun untuk menyelamatkan kaum bangsa Melayu, sekarang dikalah, dihina dan tidak terdaya dipulih semula,” kata Dr Mahathir malam tadi.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, rakyat menolak BN yang ditunjangi Umno.

Umno yang hilang kuasa kini tiada daya melaksanakan apa-apa untuk orang Melayu melainkan bercakap saja kerana kuasa yang hilang itu mengheret pergi bersamanya harta dan pengaruh.

Yang ada sekarang Bersatu. Sebagai parti Melayu dalam gabungan kerajaan itu, Bersatu mahu mengambil tanggungjawab yang dulunya dipikul oleh Umno, ketika sebuah lagi parti Melayu dalam PH iaitu Amanah yang progresif, condong menjadi kebalikan kepada PAS yang lebih kaku dan beku.

Dr Mahathir tidak berselindung dan tidak berlapik. Mesejnya jelas, dalam gaya tipikalnya dengan bahasa yang mudah dan jalur penyampaian yang teratur: Biarlah orang hendak kata perkauman sekalipun, Bersatu sama sekali tidak akan mengabaikan orang Melayu.

Mesej ucapan Dr Mahathir malam tadi mengukuhkan ucapan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin semasa membuka perhimpunan sayap pemuda dan wanita parti itu pada malam sebelumnya.

Bersatu tidak akan minta ampun hanya kerana ia memperjuangkan agenda Bumiputera, kata Muhyiddin. Malah beliau mahu kerajaan mengangkat perjuangan Bersatu sebagai agenda nasional manakala PH menjadikannya dasar teras parti.

Namun mesej Dr Mahathir bersyarat, bukan muktamad dan tidak tuntas.

“Kita akan jadi pelindung kepada orang Melayu – pelindung sementara – kerana pelindung yang sebenar ialah kita sendiri,” katanya.

Dr Mahathir mengingatkan bahawa orang Melayu tidak boleh bergantung sepenuhnya, baik pada parti politik atau kerajaan untuk mengubah nasib mereka. Nasib mereka, mereka sendirilah yang tentukan.

Dr Mahathir tetaplah Dr Mahathir – sayang pada bangsanya begitu mendalam tetapi kecewanya lebih dalam lagi.

Bersatu mahu mengambil tanggungjawab yang dulunya dipikul oleh Umno dalam memperjuangkan nasib orang Melayu dan Bumiputera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2018.

Pada hujung kepimpinannya sebagai presiden Umno dan perdana menteri kali pertama dulu, Dr Mahathir mengaku beliau gagal mengubah sikap dan nilai orang Melayu.

Katanya, beliau sudah buat segala yang terdaya – tunjuk ajar sudah, marah sudah, menangis sudah, berdoa pun sudah.

Dalam ucapannya membuka Perhimpunan Agung Umno 2002, beliau meminta maaf secara terbuka atas kegagalannya itu.

Dua hari kemudian, beliau letak jawatan dan selepas itu semuanya sejarah. Pengunduran Dr Mahathir ditangguhkan setahun. Pada Oktober 2003, kepimpinan Umno bukan saja beralih tangan tetapi pada bacaan beliau, berubah haluan.

Malam tadi, Dr Mahathir menegaskan bahawa Bersatu bukan Umno dan Bersatu tidak mahu jadi seperti Umno yang beliau lepaskan 15 tahun lalu.

“Parti ini adalah parti Melayu Bumiputera dari segi keahliannya. Tetapi itu sahaja persamaan dengan Umno selepas 2003. Kita tidak ingin menjadikan Umno selepas 2003 sebagai contoh bagi kita,” katanya.

Dr Mahathir tetaplah Dr Mahathir – akan terus menegur dan menasihati orang Melayu. Teguran dan nasihatnya begitulah sejak dulu.

Namun orang Melayu pula tetaplah orang Melayu – tidak semua teguran dan nasihatnya itu lekat pada benak mereka.

Kalau dulu pun Dr Mahathir tidak boleh mengubah orang Melayu, apa jaminan sekarang bahawa orang Melayu akan berubah? Apa pula keadaan sekarang yang akan melonjakkan orang Melayu untuk berubah?

Dulu dan sekarang tidak sama persekitaran politiknya. Dulu itu ketika Umno kuat, ketika Umno parti tunjang dalam BN yang boleh menunjuk itu dan ini.

Bersatu bukan Umno. Bersatu dalam PH juga bukan seperti Umno dalam BN.

Isunya bukan Umno, bukan juga Bersatu. Isunya ialah orang Melayu. – 30 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen