Anak wanita Yaman sakit di AS meninggal dunia


Foto pada 16 Disember menunjukkan kanak-kanak Abdullah Hassan bergantung kepada mesin sokongan hayat di sebuah hospital kanak-kanak di Oakland, California sambil ditemani bapanya, Ali. – Gambar EPA, 30 Disember, 2018.

SEORANG kanak-kanak lelaki yang ibunya terpaksa berjuang untuk mendapatkan kebenaran melawatnya dari Yaman ketika beliau sedang nazak di sebuah hospital di Amerika Syarikat (AS) akhirnya meninggal dunia, kata satu kumpulan hak asasi pada Sabtu.

Abdullah Hassan berusia dua tahun, yang mempunyai kerakyatan AS daripada sebelah bapanya, menderita penyakit genetik yang jarang berlaku berada pada fasa akhir. Beliau meninggal dunia pada Jumaat di hospital kanak-kanak Oakland, California.

Walaupun keadaan anaknya yang nazak, permohonan visa Shaima Swileh berulang kali ditolak kerana sekatan perjalanan yang diperintahkan oleh Presiden Donald Trump terhadap enam negara majoriti majoriti Islam termasuk Yaman.

Kisah itu menarik perhatian media, terutama selepas ayah Abdullah, Ali Hassan, membuat pengakuan penuh emosi melalui stesen televisyen, dan akhirnya kedutaan AS di Kaherah memberikan pengecualian kepada Swileh, yang bersatu dengan anaknya pada 19 Disember.

“Kami hancur luluh. Kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada anak kami, cahaya hidup kami,” kata Ali Hassan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Hubungan Amerika-Islam.

Pengebumian kanak-kanak itu dijangka disempurnakan pada petang Sabtu di Lodi, California.

“Dengan semangat mereka, keluarga ini memberi inspirasi kepada negara untuk menghadapi realiti larangan terhadap umat Islam yang dibuat oleh Donald Trump,” kata peguam CAIR Saad Sweilem, yang membantu keluarga berkenaan berdepan birokrasi AS.

“Abdullah menjadi panduan untuk kita semua dalam memerangi xenophobia dan pemisahan keluarga.”

Presiden Republik itu menjadikan perjuangan menentang imigresen haram sebagai keutamaan dalam kempen pilihan raya dan selepas beliau menduduki White House.

Dalam masa seminggu memegang jawatan, beliau mengejutkan dunia dengan larangan perjalanannya yang pertama, yang dikatakan pengkritik jelas anti-Islam walaupun Trump menegaskan ia bertujuan menghalang pengganas.

Arahan eksekutifnya itu adalah menjadi perbalahan kehakiman yang panjang sebelum akhirnya diluluskan - dalam versi yang dipinda - oleh Mahkamah Agung pada Januari.

Perintah itu menutup kemasukan 150 juta warga dari Iran, Libya, Korea Utara, Somalia, Syria dan Yaman, serta beberapa pegawai kerajaan dari Venezuela ke AS. – AFP, 30 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen