Pemimpin BN 'hanya mimpi' jika nak tubuh kerajaan perpaduan, kata Dr Mahathir 


Sheridan Mahavera

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Putrajaya malam ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 Disember, 2018

PEMIMPIN Barisan Nasional bermimpi di siang hari apabila merasakan mereka boleh membentuk kerajaan perpaduan dengan parti Pakatan Harapan, kata pengerusi Bersatu yang juga Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Malah, pemimpin Umno yang berniat untuk menyertai Bersatu tidak akan dibenarkan memegang sebarang jawatan dalam parti sehingga selepas Pilihan Raya Umum ke 15, kata Dr Mahathir.

“Hari ini orang Melayu berada dalam keadaan yang tidak menentu dan kehilangan haluan. Pemimpin mereka bertelagah dan ahli tidak tahu apa yang sudah jadi pada mereka. Ada yang keluar dari Umno, ada cuba hidupkan Umno,” kata Dr Mahathir pada ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang diadakan di Putrajaya malam ini.

“Ada yang masih fikir mereka sebagai sebuah parti politik boleh bergabung dengan parti-parti lain, mendapat cukup bilang untuk mendiri kerajaan campuran. Ada pemimpin yang percaya mereka akan pimpin Kerajaan campuran baru ini.

“Semua harapan ini meleset, mimpi Mat Jenin, mimpi akan sesuatu yang tidak berasas dan tidak akan berlaku.”

Dua minggu lalu, terdapat pendedahan bahawa Setiausaha Agung Barisan Nasional Nazri Aziz cuba memujuk ahli Umno untuk menerima idea parti itu bekerjasama dengan PKR dan DAP dalam kerajaan perpaduan.

Nazri mempertahankan idea itu dan mengatakan ia perlu bagi memastikan Umno tidak akan dibubarkan kerana ia akan menjadi sebahagian daripada kerajaan. Majoriti ahli Umno bagaimanapun menolak cadangan sedemikian.

Dr Mahathir juga menyatakan kebimbangan mengenai bekas ahli dan pemimpin Umno yang memohon untuk menyertai Bersatu, dengan mengatakan mereka akan dikenakan syarat yang ketat.

“Kita Bersatu tidak mudah terima. Ada syarat. Mesti keluar dari Umno dan jadi bebas. Sebagai bebas secara ikhlas sokong Pakatan Harapan dan Bersatu. Tidak akan ada penerimaan oleh Bersatu sebagai satu kumpulan bekas Umno. Hanya akan diterima sebagai individu bebas.

“Jika diterima, tidak boleh pegang jawatan sehingga PRU 15. Lama. Ya lama. Ujian keikhlasan tidak boleh dipercepat.” – 29 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen