Lebih banyak peluang perniagaan akan diberi kepada wanita, kata Dr Mahathir


Sheridan Mahavera Noel Achariam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata golongan wanita akan diperkenalkan dengan peluang perniagaan baharu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 Disember, 2018

LEBIH banyak peluang perniagaan dalam bentuk lesen dan kontrak akan diberikan kepada wanita dan mereka yang tinggal di luar bandar yang terbukti lebih berjaywa daripada lelaki, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. 

Pengerusi Bersatu itu berkata, mereka akan diperkenalkan dengan peluang perniagaan baharu dan meningkatkan kemampuan mereka dengan program dan latihan. 

“Berkenaan dengan peluang bekerja dalam Kerajaan dan swasta, yang menjadi ukuran ialah kelulusan yang baik dan pengalaman yang luas. 

“Diskriminasi terhadap wanita semata-mata kerana jenis mereka akan dihapuskan,” katanya pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Putrajaya malam ini. 

Dr Mahathir berkata, keutamaan akan diberikan kepada usahawan wanita yang mempunyai rekod perniagaan yang baik. 

“Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan diperbesarkan dan contoh-contoh yang baik dalam perniagaan wanita akan dibantu lagi untuk membesar perniagaan mereka. 

“Mereka yang berjaya akan dibantu lagi. Pertandingan antara mereka akan diadakan dan hadiah akan diberi kepada yang berjaya besar.”

Beliau yang juga ahli Parlimen Langkawi berkata generasi muda kini juga lebih terlatih dan berpendidikan. 

Sebahagian daripada perwakilan yang hadir ada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang diadakan di PICC, Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 28 Disember, 2018

“Pengalaman mereka mungkin kurang. Tetapi ini boleh diatasi dengan pendedahan kepada kerja sebagai pekerja upahan.

“Generasi muda juga akan diberi layanan istimewa, Dalam pertanian dan perniagaan kita kerap mencuba menjayakan mereka yang sudah ada dalam bidang-bidang ini.”

Beliau berkata, fokus akan diberikan kepada generasi muda kerana generasi tua sukar untuk menerima teknologi baharu. 

“Hakikatnya ialah yang sudah dewasa sukar untuk menerima cara-cara dan teknologi baru. Sebaliknya yang muda lebih mudah dibentuk dan disemai dengan cara-cara baru. 

“Kita lihat umpamanya penggunaan komputer dan telefon bimbit lebih mudah dikuasai oleh generasi muda berbanding dengan generasi tua.”

Dr Mahathir berkata terdapat contoh yang baik golongan muda dalam industri, pertanian moden dan tenakan hari ini. 

“Negara kita amat bergantung kepada barangan dan makanan yang diimport dari negara asing. Sebaliknya barangan ini boleh dikeluarkan dalam negara kita. 

Generasi muda akan diberi latihan dan peluang untuk memasuki bidang-bidang ini. Bermula dengan bekerja sebagai tenaga upahan, yang berminat boleh diberi peluang dan dibantu untuk memasuki bidang yang hampir sama, sebagai entrepreneur. – 29 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen