Pesta menuai akan disambut di seluruh negara, kata Wan Azizah 


Jason Santos

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika berucap pada sambutan Rumah Terbuka Krismas di Kota Kinabalu malam ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2018

PUTRAJAYA menjadikan sambutan pesta menuai di Sabah dan Sarawak sebagai antara perayaan yang disambut pada rumah terbuka kebangsaan.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata bermula tahun hadapan, Pesta Kaamatan Sabah dan Hari Gawai Sarawak akan disambut seluruh negara.

Ini bermakna, Malaysia mempunyai enam sambutan rumah terbuka kebangsaan - Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas dan yang baru disenaraikan, Gawai dan Kaamatan.

“Penganjuran rumah terbuka ini akan membantu kita memupuk perpaduan dan persefahaman antara kaum; memupuk semangat Malasia Baharu, mengukuhkan ikatan antara pemimpin dan rakyat serta mengetengahkan tradisi rakyat Malaysia dan pelancongan,” katanya pada sambutan Rumah Terbuka Krismas di Kota Kinabalu malam ini.

Dr Wan Azizah berkata Putrajaya menyedari bahawa perpaduan dan keharmonian kaum dan toleransi antara agama menyumbang kepada kestabilan politik dan mmemberi kejayaan kepada pembangunan nasional dan masa depan.

Turut hadir pada program itu, Menteri Kerja Raya Bari Bian, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi, Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew dan Pesuruhjaya Polis Sabah Omar Mammah.

Pesta Kaamatan merupakan perayaan sepanjang sebulan yang berakhir pada 30 dan 31 Mei, manakala Hari Gawai bermula pada 1 Mei dan berakhir pada 1 Jun.

Ia merupakan perayaan yang meraikan hasil tuaian.

Malaysia Timur terutamanya rakyat Sabah sebelum ini menggesa Putrajaya mengiktiraf Pesta Kaamatan sebagai salah satu Hari Kelepasan Am.

Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal berkata, beliau berbangga apabila Sabah dipilih sebagai tuan rumah untuk sambutan Krismas kebangsaan.

Katanya, Sabah merupakan contoh yang mana rakyat berbilang kaum dan agama mampu hidup dalam suasana harmoni.

“Rakyat Malaysia di Sabah, telah bertahun-tahun, sekali lagi dan menunjukkan toleransi yang tinggi antara satu sama lain dan mengelakkan mereka yang cuba memecah perpaduan rakyat di negeri ini.

“Tidak kira sekuat mana pun orang yang cuba memecahbelahkan perpaduan di Sabah, mereka gagal berbuat demikian kerana kebanyakan rakyat di negeri ini menentang elemen ekstremis yang mahu memecahbelahkan masyarakat,” katanya.

Shafie berkata beliau percaya kemampuan ini berasal dari gaya hidup yang sederhana dan ikatan antara rakyat Sabah.

Bagaimanapun, beliau berkata, beliau menyedari masih ada beberapa bahagian di negara ini yang masih lagi kuat dengan perkauman dalam masyarakat.

Beliau berkata terdapat beberapa parti politik yang terus menggunakan bangsa dan agama untuk memisahkan dan mewujudkan rasa takut di kalangan rakyat.

Oleh itu, Shafie berkata politik sedemikian harus dielakkan untuk membina Malaysia yang lebih baik.

“Hari ini kerajaan persekutuan Pakatan Harapan dan Parti Warisan Sabah, dengan PKR, DAP dan Pertubuhan Pasok Momogun KadazanDusunMurut (Upko) bekerjasama rapat untuk mewujudkan rasa perpaduan sejati di kalangan rakyat Malaysia.

“Kami berjanji untuk membawa perubahan dan mengelakkan daripada dasar-dasar perkauman daripada kerajaan terdahulu yang diterajui oleh Umno,” katanya. – 29 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen