4 terbunuh dalam kejadian ribut di Filipina 


Stesen kaji cuaca Filipina memantau pergeraan angin dan taufan untuk memberi amaran awal kepada penduduk di negara itu.– Gambar EPA, 29 Disember, 2018

EMPAT orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh manakala ribuan lagi penduduk diarahkan berpindah dari kediaman mereka selepas ribut taufan melanda tengah kepulauan Filipina pada Sabtu, menurut pihak berkuasa. 

Tiga sekeluarga tertimbus dalam tanah runtuh di Bandar Legazpi, di tenggara Manila manakala seorang wanita tertimbus dalam satu lagi kejadian tanah runtuh di pekan Bulan berikutan hujan lebat menyebabkan struktur tanah menjadi longgar, kata pegawai kanan pertahanan awam. 

Hampir 12,000 penduduk turut dipindahkan dari kediaman mereka di wilayah Bicol selepas kawasan bertekanan rendah, melanda kawasan pendalaman pada Sabtu. 

Cuaca tidak menentu, tiupan angin berkelajuan 65 kilometer sejam, direkodkan sedang bergerak menuju ke barat melalui tengah kepulauan berkenaan dan dijangka akan melanda Laut China Selatan pada Ahad, menurut stesen kaji cuaca kerajaan Filipina.

Walaupun angin berkenaan tidak begitu kuat, ia masih membawa hujan lebat yang menyebabkan tanah runtuh dan banjir di beberapa kawasan, menurut pejabat pertahanan awam. 

Secara purata, 20 taufan dan ribut melanda Filipina setiap tahun, menyebabkan ratusan penduduk terbunuh. 

Ribut yang paling buruk pernah direkodkan asalah Taufan Haiyan, yang menyebabkan 7,350 orang terbunuh atau hilang di negara itu pada November 2013. – AFP, 29 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen