PEMUDA Bersatu mahu parti itu melaksanakan sistem satu ahli satu undi untuk pemilihan parti tahun depan, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ketua Pemuda Bersatu itu berkata prinsip satu ahli satu undi penting kerana mereka mahu suara dan peranan dimainkan akar umbi diberi perhatian.
“Kami dah bincang apakah model pemilihan parti yang baharu yang kami mahu bentangkan iaitu satu ahli satu undi.
“Mekanisme model baharu ini perlu ditambah baik mungkin dengan Majlis Pimpinan Tertinggi tetapi perkara ini perlu dibincangkan lebih lanjut,” katanya pada Perhimpunan Agung Bersatu di Putrajaya hari ini.
Syed Saddiq berkata isu paling mustahak yang mahu diperjuangkan Pemuda adalah menghapuskan politik wang dan gejala “warlords” yang masih wujud.
“Kami tak mahu misalnya berlaku ahli yang boleh dibeli.”
Syed Saddiq juga berkata wujud desakan perwakilan Pemuda yang mahu jawatankuasa khas dibentuk bagi menyaring pemimpin Umno yang mahu menyertai Bersatu.
“Jawatankuasa itu akan diterajui Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin atau Timbalan Mukhriz Mahathir.
“Perlu juga ada wakil daripada sayap terutama Pemuda bagi memastikan mereka (bekas Umno) disaring dengan betul.”

Katanya, antara kriteria adalah bekas Umno perlu mengisytiharkan aset mereka, meminta maaf dan tidak meminta jawatan dalam parti.
Umno buat masa sekarang sudah hilang 17 ahli Parlimen, menyebabkan kini hanya mempunyai 37 berbanding 51 kerusi yang dimenanginya pada PRU14.
Ahli Parlimen itu kini mengisytiharkan diri sebagai wakil Bebas dan dijangka menyertai Bersatu akhirnya. – 29 Disember, 2018.
Komen