GUNUNG berapi di Indonesia yang mencetuskan tsunami membunuh lebih 400 orang minggu lalu kehilangan dua pertiga daripada ketinggiannya berikutan letusan yang menyebabkan berlaku ombak pembunuh itu.
Sebahagian daripada kawah gunung berkenaan runtuh selepas letusan dan tergelincir ke dalam laut, menyebabkan berlaku tsunami pada Sabtu lalu.
Analisis visual oleh agensi vulkanologi Indonesia mendapati, gunung berapi berkenaan kehilangan dua pertiga daripada ketinggiannya, kata pihak berkuasa pada Sabtu.
Anak Krakatau yang sebelum ini berketinggian 338 meter (1,109 kaki) kini hanya setinggi 110 meter.
Agensi berkenaan menganggarkan gunung berapi terbabit hilang antara 150 dan 180 kubik meter kerana sejumlah batu dan debu tergelincir ke dalam laut susulan daripada beberapa siri letusan.
“Anak Krakatau kini lebih rendah, biasanya puncaknya dapat dilihat dari pos pemantau, sekarang tidak lagi,” kata pegawai kanan agensi berkenaan Wawan Irawan kepada AFP.
Sebelum dan selepas imej satelit diambil oleh agensi angkasa Jepun menunjukkan serpihan sebesar dua kilometer persegi gunung berkenaan runtuh ke dalam laut.
Gunung berapi berkenaan, merupakan sebuah kepulauan baharu yang terbentuk pada 1928 selepas letusan besar Gunung Krakatau pada tahun 1883 yang menyebabkan sekurang-kurangnya 36,000 orang terbunuh.
Status kawah telah dinaikkan ke peringkat berjaga-jaga tinggi, amaran tertinggi kedua dalam skala bahaya empat mata Indonesia.
Zon pengecualian telah dipanjangkkan dari dua hingga lima kilometer (1.2 hingga tiga batu).
Seminggu selepas tsunami, ribuan umat Islam di Indonesia mengadakan solat hajat beramai-ramai pada hari Sabtu dan berdoa untuk keselamatan kampung halaman mereka. – AFP, 29 Disember, 2018
Komen