PERWAKILAN Pemuda Bersatu mahu Putrajaya berhenti memberikan bantuan kepada orang Melayu yang kaya, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Syed Saddiq yang menerajui sayap Pemuda itu berkata perkara itu adalah salah satu isu yang sering dibangkitkan perwakilan pada pertemuan tertutup perwakilan pagi tadi.
“Mereka bertanya sama ada bayaran diberikan kepada orang Melayu kaya seperti diskaun tanah perlu diberikan kepada kumpulan B40,” katanya.
Tambahnya lagi, buat masa sekarang, orang Melayu yang mempunyai aset mencecah lebih RM1 juta pun masih diberikan diskaun pembelian rumah dan tanah.
Syed Saddiq berkata Pemuda Bersatu mahu tumpuan tindakan afirmatif disalurkan kepada orang Melayu yang berpendapatan rendah, atau kumpulan B40.
“Ini perlu diberikan kepada orang Melayu yang tidak bernasib baik kerana tidak ada dasar yang diberikan kepada kumpulan B40,” katanya kepada wartawan.
Tambahnya lagi, diskaun perlu diberikan untuk membantu kumpulan B40 bukannya orang Melayu kaya.
“Kita perlu mengubah fokus Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk membantu kumpulan B40.
“Ini adalah salah satu isu yang perlu diberi perhatian.”

Beliau turut menjelaskan yang wujud juga perbincangan tentang kerjaya masa depan.
“Ada juga usul untuk mengembalikan semula Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tetapi dengan kerjasama rapat Dewan Bahasa dan Pustaka.
“Menurut Khazanah Research Institute salah satu faktor pengangguran belia adalah kekurangan soft skills, keyakinan dan kemahiran Bahasa Inggeris.
“Ini penting (untuk belia) bergerak maju ke hadapan.”
Syed Saddiq berkata antara isu lain yang turut dibincangkan adalah perlunya belia tanpa mengira latar belakang untuk mengambil pucuk kepimpinan dalam kerajaan.
“Bukan hanya tahap menteri, tetapi juga ketua kampung, ahli exco atau lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan.
“Jadi belia akan ada peranan lebih besar dalam memacu masa depan negara.” – 29 Disember, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Will Be Humble · Ulasan