Gempa bumi 6.9 magnitud landa Mindanao


Gempa bumi melanda tenggara Davao City di pulau Mindanao, selatan Filipina hari ini pada kedalaman 59km, kata Pusat Kajian Geologi AS. – Gambar Facebook, 29 Disember, 2018.

GEMPA bumi berukuran 6.9-magnitud melanda pulau Mindanao, selatan Filipina hari ini, kata badan pemantau, menambah ada kemungkinan ancaman tsunami untuk sebahagian Filipina dan negara jiran Indonesia.

Gempa melanda tenggara Davao City itu pada kedalaman 59km, kata Pusat Kajian Geologi AS (USGS), sementara Pusat Amaran Pasifik Tsunami berkata “ombak tsunami yang berbahaya mungkin berlaku akibat gempa bumi itu” di sepanjang pantai Indonesia dan Filipina.

Bagaimanapun, ombak tsunami diramalkan setinggi kurang daripada 30cm, kata pusat amaran itu.

Pejabat seismologi kerajaan Filipina berkata bandar-bandar di selatan negara itu merasai gegaran yang “sederhana kuat”.

Pejabat pertahanan awam wilayah itu berkata setakat ini belum ada laporan kerosakan atau kematian akibat gempa itu.

Menurut USGS, kemungkinan berlaku kematian dan kerosakan agak rendah, namun ia memberi amaran gempa bumi di kawasan itu baru-baru ini menyebabkan tanah runtuh.

Filipina dan Indonesia terletak di Lingkaran Api, di rantau Lautan Pasifik di mana banyak gempa bumi dan gunung berapi berlaku.

Bencana gempa teruk melanda Filipina pada 2013 ketika gempa dengan ukuran 7.1-magnitud melanda menyebabkan lebih 220 maut dan memusnahkan gereja bersejarah di tengah kepulauan itu.

Indonesia dilanda dua tsunami besar tahun ini. Lebih 400 orang terbunuh minggu lalu selepas gunung berapi meletus yang mencetuskan ombak besar di sepanjang pantai di pulau Jawa dan selatan Sumatera.

Tsunami gempa bumi pada September menyebabkan 2,200 maut di Palu di pulau Sulawesi dengan ribuan lagi masih hilang dan dianggap mati. – AFP, 29 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen