Bekas auditor Bank Negara dakwa forex ada kawal selia, tolak dakwaan Murad


Asila Jalil Bede Hong

KETERANGAN bekas auditor Bank Negara Malaysia (BNM) Wong Yew San pada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hari ini bercanggah dengan dakwaan bekas Pembantu Gabenor BNM Abdul Murad Khalid yang mendakwa tiada sesiapa yang menyiasat kerugian forex itu.

Wong, 69, berkata bank pusat itu sudah membentuk Jawatankuasa Simpanan Luar (ERC) untuk memantau dan mengawal urus niaga forex.

Bagaimanapun, dalam keterangan lain hari ini, panel enam anggota RCI, diketuai Pengerusi Petronas Mohd Sidek Hassan mengkritik bekas Setiausaha ERC Essah Yussoff kerana gagal menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan kerugian forex itu, didakwa Murad mencecah AS$10 bilion atau RM25 bilion ketika itu.

Wong yang bekerja di bank pusat daripada 1971 hingga 2003,sebelum ini juga pernah menolak dakwaan Murad bahawa tiada jawatankuasa ditubuhkan untuk menyelia perdagangan forex dan semuanya dilakukan berdasarkan kapasiti individu dalam temubual bersama New Straits Times pada Januari lalu.

“…ada jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menyelia aktiviti forex,” kata Wong yang merujuk kepada ERC.

“Bagaimanapun, had seliaan mereka kepada urus niaga (dilakukan) pengurusan tidak diletakkan dengan jelas,” kata Wong merujuk kepada muka surat 15 dokumen rahsia “Audit Report on Foreign Exchange Operation Division of Banking Department and Processing Section of Accounts Department as at 31 December 1992 dated 21 January 1994.”

Laporan itu yang diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) disediakan pekerja BNM Ahmad Hizzah Baharuddin yang memberi keterangan Isnin lalu dan Ahmad Mudahir Omar.

Mereka dibantu tiga kakitangan Jabatan Audit: Ong Book Teck, Zamrose Nasri Zainal dan Ooi Kok Lye.

Merujuk kepada laporan audit itu, Wong mendakwa kerugian forex yang dialami BNM pada tahun itu berjumlah RM8.5 bilion.

Dia menambah yang pasukan pengurusan jabatan audit bank pusat itu tidak diberitahu tentang aktiviti perdagangan forex dilakukan BNM.

Katanya lagi, peniaga forex dihadkan jumlah urus niaga sebanyak AS$125 juta, dan mereka boleh memutuskan secara berkumpulan sama ada mereka mahu meneruskan urus niaga itu atau tidak.

“(Tetapi) perdagangan melebihi jumlah itu terletak kepada keputusan ketua peniaga dan orang atasannya,” kata Wong.

“Mereka boleh membuat keputusan untuk melakukan urus niaga itu atau tidak. Untuk ketua peniaga dan urus niaga (dilakukan) pengurusan, had tidak dinyatakan,” tambahnya.

Wong mendakwa yang had peniaga ditetapkan pada AS$125 juta bercanggah dengan dakwaan yang dikeluarkan bekas peniaga BNM Fizaman Noor Mohammad Nasir yang mengatakan had peniaga ditetapkan pada AS$30 juta. – 24 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen