PEMBANGUNAN infrastruktur di Port Dickson akan disemak semula pada Januari nanti, kata Ahli Parlimen Anwar Ibrahim.
Katanya, pihak berkuasa tidak seharusnya meluluskan sebarang pembangunan baharu tanpa meneliti syarat pembinaan infrastruktur, keperluan kawasan dan bagaimana ia boleh membantu mempromosi PD sebagai destinasi pelancongan utama.
“Saya dah beritahu mereka sebulan lalu, untuk menangguhkan sebarang kelulusan (projek) besar kerana kita tak mahu ganggu pelan struktur.
“Tidak aka nada perubahan sturktural besar tanpa pelan struktur untuk PD,” katanya pada majlis membersihkan pantai PD hari ini.
Anwar turut menyatakan yang PD berdepan masalah banjir setiap minggu dan perkara itu perlu diatasi segera.
“Jika kita mahu jadikan PD destinasi pelancongan utama, tak boleh ada banjir setiap minggu,” katanya.
Semakan itu akan dilakukan dalam pertemuan antara Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dengan beberapa syarikat yang membuat pelaburan di kawasan pelancongan tersebut bagi menyelesaikan isu infrastrukturnya.

Dengan rancangan pembangunan melibatkan pembinaan hotel lima bintang, pusat penjaja dan medan selera, Anwar meminta pelabur untuk mengambil pendekatan realistik bagi memenuhi keperluan penduduk tempatan.
“Saya tiada masalah jika mereka mahu bina tempat ini, tetapi mereka juga perlu bertanggungjawab memastikan kebersihan pantai.
“Isi rumah pendapatan rendah perlu dilibatkan dan peluang pekerjaan perlu disediakan. Jika bangunan besar dibina, ia perlu dibuat dengan kebersihan fikiran.”– 29 Disember, 2018.
Komen