Pemimpin pembangkang ditahan, polis patahkan protes di Sudan


Polis menyembur gas pemedih mata kepada ratusan orang ramai yang mengadakan demonstrasi selepas solat Jumaat di beberapa bandar, termasuk Khartoum dan Omdurman di Sudan sebagai tanda bantahan kenaikan harga roti. – Gambar Facebook, 29 Disember, 2018.

POLIS Sudan menyuraikan beberapa protes yang diadakan selepas solat Jumaat, ketika pasukan keselamatan menahan pemimpin tertinggi pembangkang selepas semakin banyak desakan demonstrasi diadakan sebagai bantahan terhadap kenaikan harga roti.

Orang ramai yang marah turun ke jalanan di Khartoum dan beberapa bandar lain sejak 19 September selepas keputusan kerajaan menaikkan harga roti.

Seramai 19 orang terbunuh setakat ini dalam protes itu, kata kerajaan.

Polis menyembur gas pemedih mata kepada ratusan orang ramai yang mengadakan demonstrasi selepas solat Jumaat di beberapa bandar, termasuk Khartoum dan bandar kembarnya, Omdurman di tebing barat Nile, kata saksi.

Protes turut diadakan di Pelabuhan Sudan, Atbara dan Madani, kata saksi, menambah kebanyakannya bersurai selepas dipatahkan oleh polis anti rusuhan.

Orang ramai melaungkan “Bebas, Aman, Adil” ketika keluar beramai-ramai dari masjid di Omdurman, milik parti pembangkang utama, National Umma Party.

Tetapi mereka kemudian dihentikan oleh polis anti rusuhan yang melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan demonstrasi. – AFP, 29 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen