Pemuda Bersatu mahu mula kempen boikot produk EU


Sheridan Mahavera

Pemuda Bersatu mahu kerajaan serius memandang ancaman Kesatuan Eropah yang mahu memboikot produk minyak sawit yang boleh menjejaskan Felda. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 Disember, 2018.

MENTERI Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengugut untuk memulakan kempen memboikot produk Kesatuan Eropah sebagai tindakan balas kepada keputusan blok ekonomi itu untuk mengharamkan import minyak sawit.

“Kalau EU boleh boikot Felda, kita boleh buat perkara serupa! Armada (Pemuda Bersatu) akan seru sokongan ahli Parlimen, Jemaah Menteri untuk lawan EU. Gerakan #BangunFELDA perlu dimulakan,” katanya dalam ucapan dasar ketua Pemuda Bersatu.

“Saya gesa kerajaan mula gerakan yang serius dan berani. Lawan Kesatuan Eropah. Jika mereka boikot produk Felda, kita harus lawan!”

Syed Saddiq memberikan misalan usaha Dr Mahathir Mohamad ketika memulakan kempen “Buy British Last” pada 1981. Kempen itu adalah untuk membantah pemilikan syarikat British, Guthrie dalam syarikat getah tempatan dan peningkatan yuran pengajian pelajar Malaysia di Britain.

Keputusan EU untuk mengharamkan minyak sawit menjelang 2030 akan menjejaskan negara pengeluar minyak sawit seperti Indonesia dan Malaysia kerana blok ekonomi serantau itu merupakan pasaran kedua terbesar untuk minyak sawit.

Kerajaan Malaysia, pemain utama dan kecil industri minyak sawit yang mengeluarkan 40% minyak sawit di negara ini sudah berkempen untuk mendesak EU membatalkan keputusan itu.

Dalam ucapannya, Syed Saddiq menggesa pemerhati EU yang turut hadir dalam dewan melawat ladang kelapa sawit di negara ini untuk melihat bagaimana larangan itu akan memberi kesan kepada peladang.

“Macam-macam alasan diberi, tapi hakikatnya EU suka membuli negara yang lebih kecil. Sebab kita yang kawal minyak sawit dunia. Mereka takut.

“Untuk kawan-kawan saya dalam EU, anda sakiti orang paling papa dalam kumpulan miskin. Saya tak akan benarkan ia berlaku. Kami akan lawan balik untuk lindungi orang Felda kita.” – 29 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen