BERSATU tidak boleh jadi Umno ketika ia berdepan dengan kebanjiran bekas ahli parti Melayu itu yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata ketua sayap Pemudanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menteri belia dan sukan itu memberi amaran kepada ahlinya supaya jangan tiru retorik agama dan perkauman Umno, hanya semata-mata untuk mendapatkan undi.
“Kenapa jangan jadi Umno? Ramai kata Bersatu sudah jadi Umno 2.0, Umno 3.0. Banyak sangat Umno-style. Petualang Umno ramai buat hijrah ke Bersatu. Dikatanya ubah kiblat.
“Ini yang kita tidak mahu ada dalam Bersatu. 20. Bersatu bukan Umno. Selamanya Bersatu tidak akan jadi Umno. Bersatu tidak perlu ada sogok menyogok dalam politik. Bersatu tidak perlu jual negara untuk survival politik.
“Bersatu tidak perlu hipokrit dan mainkan isu perkauman untuk politik,” katanya dalam ucapan dasarnya di perhimpunan agung sayap Pemuda Bersatu kali pertama hari ini.
Bersatu yang baru berusia tiga tahun ialah sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) yang menewaskan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada PRU14. Tidak seperti BN, empat parti komponen dalam PH ialah parti pelbagai kaum.
Memandangkan strukturnya hanya untuk Melayu Islam dan menjuarai isu masyarakat itu, Bersatu sering dibandingkan dengan Umno atau dirujuk sebagai “Umno untuk PH”.

Bersatu juga menjadi parti disertai bekas ahli dan pemimpin Umno. Tiga ahli Parlimen Umno yang keluar parti kemudian menyertai Bersatu dalam tempoh tujuh bulan lalu. Sementara enam lagi ahli Parlimen Umno yang keluar parti baru-baru ini mengisytiharkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi Bersatu.
Perkembangan ini mencetuskan rasa bimbang yang Bersatu akan mewarisi perangai buruk Umno. Syed Saddiq memberi tumpuan kepada sifat bermasalah Umno dalam ucapannya hari ini.
“Menang atau kalah di Putrajaya, Bersatu tidak boleh dan tidak akan sesekali menggunakan amalan dan cara Umno untuk survival politik. Ini yang membezakan kita dan mereka.
“Sikap asal boleh harus dibuang jauh-jauh. Parti kita punya prinsip, nilai dan tanggungjawab.
“Mungkin kita boleh ‘mengangkat keris’ dan mengaku kitalah pejuang Melayu Islam, tambah undi kerana menyebarkan politik rasis dan perkauman, usung keranda bangsa lain hanya untuk menambah rasa takut dan prejudis masyarakat Melayu dan akhirnya ‘menang’ dalam pilihan raya.
“Boleh, kita boleh buat. Cara Umno boleh kita amal. Tetapi, itu bukan kita. Kita Bersatu, bukan Umno. Biar mereka buat kerja-kerja kotor dalam politik. Kita lebih tinggi dari itu. Moral dan nilai yang kita bawa tidak boleh direndah-rendah dan dipijak-pijak hanya kerana mahu menang pilihan raya,” katanya. – 29 Disember, 2018.
Komen