Ahli Umno tidak risau pemimpin keluar parti


SM Amin

Pimpinan Umno di peringkat akar umbi bimbang jika ahli hilang semangat untuk jadi pembangkang susulan pemimpin parti itu keluar parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2019.

PIMPINAN Umno akar umbi tidak risau sekiranya pemimpin parti itu bertindak keluar parti dan menyertai parti lain sebaliknya lebih khuatir kalau ahli Umno hilang semangat untuk jadi pembangkang.

Kalau ahli di akar umbi sudah hilang minat berpolitik, kata Ketua Penerangan Umno Sabak Bernam Ahmad Jais Zahdi, Umno akan jadi semakin lesu.

“Kita takut mereka hilang minat, buat tidak tahu, biar saja apa yang berlaku… (sehingga rasa) lebih baik buat kebun, main dengan anak cucu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau mengaku bimbang tindakan pemimpin keluar parti itu akan merebak merosakkan semangat ahli di akar umbi.

“Kita sudah penat-penat buat kerja (sebelum pilihan raya), tiba-tiba dah menang lompat keluar. Kita takut sindrom ini merebak.

“Bila hendak buat program atau gerak kerja parti pada masa akan datang, ramai yang sudah tidak ada minat, Umno sedikit sebanyak akan terkesan daripada segi jentera dan akan lebih nampak lesu,” katanya.

Umno Sabak Bernam antara bahagian parti itu yang terlibat apabila ahli Parlimennya Mohamad Fasiah Mohd Fakeh keluar parti pada 14 Disember lalu.

Ketua Penerangan Umno Sabak Bernam Ahmad Jais Zahdi berkata ahli akar umbi akan hilang semangat untuk jadi pembangkang apabila pemimpinnya keluar parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 4 Januari, 2019.

Setakat ini, 17 ahli Parlimen Umno meninggalkan parti sama ada menyertai komponen parti kerajaan atau jadi wakil rakyat bebas.

Walaupun kehilangan ahli Parlimen, parti Melayu terbesar itu masih kekal kukuh di peringkat akar umbi kerana hanya segelintir ahli Umno yang mengikut jejak pemimpin mereka meninggalkan parti, kata Ketua Umno Bahagian Bagan Serai Sham Mat Sahat.

Ahli Parlimen kawasan itu, Noor Azmi Ghazali yang pertama keluar Umno pada 24 Jun kini sudah menyertai Bersatu.

Sham berkata pada peringkat awal memang ramai jentera dan ahli Umno akar umbi merasa kecewa dan tidak lagi bersemangat selepas Noor Azmi mengumumkan keluar parti.

“Pada peringkat awal memang ada suara kecewa hendak tinggal politik tetapi apabila kita beri penjelasan dan lihat apa yang kerajaan hari ini buat, semangat itu datang balik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ahli Parlimen Bagan Serai Noor Azmi Ghazali yang pertama keluar Umno pada 24 Jun kini menyertai Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2019.

Pada Rabu, Ketua Penerangan Umno Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata tindakan sejumlah pemimpin keluar parti itu tidak bererti Umno sudah lumpuh kerana mereka tidak disertai bersama jumlah ahli yang ramai.

Sham yang juga Adun Alor Pongsu berkata ahli akar umbi Umno yang tinggal jadi bersemangat untuk terus bersama Umno selepas melihat kerajaan gagal membela nasib rakyat terutama di kawasan luar bandar.

“Sekarang ini bukan saja ahli Umno tetapi rakyat yang tidak berparti juga tidak puas hati dengan prestasi kerajaan. Janji manifesto tidak ditunaikan, perpecahan kaum, ekonomi semakin teruk, duit tidak naik, saham jatuh, harga sawit getah jatuh.

“Orang yang tidak minat politik pun sudah mula bercakap mengenai politik tidak puas hati dengan kerajaan.

“Jadi apa sebab orang Umno hendak keluar?,” soalnya. – 4 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen