Guru warga Kanada ditahan di China dibebaskan


Polis China berkawal di depan kedutaan Kanada di Beijing selepas penahanan tiga rakyat China baru-baru ini. – Gambar AFP, 29 Disember, 2018.

SEORANG guru warga Kanada yang ditahan di China atas alasan pentadbiran – satu kes yang tidak secara rasmi berkait dengan ketegangan diplomatik antara Beijing dan Ottawa – sudah dibebaskan, kata pihak berkuasa semalam.

Hal ehwal antarabangsa Kanada “mengesahkan seorang warga Kanada yang ditahan di China bulan ini, sudah dibebaskan dan kembali ke Kanada”, kata jurucakap Richard Walker tanpa memberikan butiran lanjut.

Penahanan Sarah McIver, seorang guru yang dituduh bekerja secara haram di China, diumumkan tidak lama selepas dua warga Kanada iaitu bekas diplomat Michael Kovrig yang bertugas di badan pemikir International Crisis Group (ICG) dan Michael Spavor seorang konsultan turut ditahan.

Dua lelaki berkenaan yang ditahan pada 10 Disember, kerana disyaki “membahayakan keselamatan negara” – frasa yang sering digunakan Beijing dalam mendakwa berlakunya intipan.

Tetapi ramai pemerhati percaya ia adalah tindakan balas susulan penahanan ketua pegawai kewangan Huawei, syarikat telekomunikasi gergasi China, Meng Wanzhou pada awal Disember di Vancouver.

Ottawa berulang kali menegaskan penahanan Meng bukan bersifat politik, tetapi sebahagian proses kehakiman dalam perjanjian ekstradisi dengan Washington. – AFP, 29 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen