TIGA pelancong Vietnam dan seorang pemandu pelancong warga Mesir terbunuh semalam dalam satu letupan bom di tepi jalan yang terkena bas mereka ketika ia dalam perjalanan menghampiri piramid Giza di pinggir Kaherah, kata pihak berkuasa.
Menurut kenyataan Pejabat Pendakwa Raya, 11 pelancong Vietnam yang lain dan seorang pemandu bas warga Mesir turut tercedera dalam letupan bom buatan tangan itu.
Bahan letupan itu diletakkan berhampiran satu dinding sepanjang Jalan Mariyutiya di daerah Al-Haram berhampiran Piramid, katanya.
Bas itu membawa 16 penumpang termasuk 14 pelancong Vietnam, seorang pemandu bas dan pemandu pelancong warga Mesir.
Pihak berkuasa kemudian mengerahkan pasukan keselamatan di tempat kejadian dan mengepung kawasan itu untuk pemeriksaan.
Bas pelancong itu mengalami kerosakan dengan tingkapnya pecah.
Perdana Menteri Mostafa Madbouli melawat pelancong yang cedera di hospital, di mana beliau mengumumkan pemandu pelancong terbabit meninggal dunia. – AFP, 29 Disember, 2018.
Komen