MELAYU perlu membangunkan sistem nilai yang berbeza untuk berjaya kerana dasar afirmatif saja tidak berkesan tanpa perubahan minda, kata Dr Mahathir Mohamad.
“Kita perlu sedar bahawa tindakan afirmatif saja tidak boleh membuatkan Melayu berjaya. Mereka perlu ubah sikap,” katanya ketika ditanya sama ada tindakan afirmatif perlu diteruskan.
“Kita perlu ubah sistem nilai mereka kerana ia tidak sesuai untuk berjaya. Tidak ada kejayaan tanpa kerja keras,” kata perdana menteri menjelang perhimpunan agung tahunan kedua Bersatu yang bermula semalam.
Pengerusi Bersatu berusia 93 tahun itu akan menyampaikan ucapan dasar parti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya malam ini.
Dr Mahathir, yang menggantikan Dasar Ekonomi Baru yang bermula sejak 1971 dengan Dasar Pembangunan Baharu, selama ini berjuang untuk kesamarataan ekonomi Melayu sejak 1960-an, sebelum ini pernah menggunakan perhimpunan agung Umno untuk mengkritik Melayu kerana “malas”.
Beliau percaya “kenyataan pahit” dibuatnya itu perlu walaupun dikecam oleh pakar akademik yang berkata stereotaip seperti itu “tidak relevan dan berbahaya”.
“Saya tidak suka hendak cakap begini tentang kaum saya tetapi saya harus beritahu mereka bahawa mereka salah,” kata Dr Mahathir, mengulanginya lagi ketika ditemu bual.
Beliau berkata kerajaan perlu menyemai nilai lebih baik menerusi dasar pendidikan.
“Kita perlu mula di peringkat tadika kerana ibu bapa tidak ada masa untuk mengajar anak mereka. Kita akan ke sekolah-sekolah untuk ajar nilai baru yang sepatutnya ada pada mereka.
“Bagi Melayu, nilai terbaik ialah nilai Islam yang menganjurkan banyak benda baik. Tetapi mereka tidak ikut,” katanya.
Di bawah ini ialah sedutan temu bual bersama Dr Mahathir:
S: Bagaimana anda akan mengubah minda Melayu yang sudah biasa dengan cara Umno?
Dr Mahathir: Kita perlu ubah sistem nilai mereka kerana ia tidak sesuai untuk berjaya. Tidak ada kejayaan tanpa kerja keras.
Saya berjumpa dengan pemilik restoran yang mahu membawa masuk pekerja dari India. Saya tanya kenapa mereka tidak ambil Melayu. Dia kata dia pernah ambil Melayu kerja tetapi lepas tiga empat hari, mereka berhenti.
Saya juga tanya seorang kontraktor dari mana dia ambil pekerja dan dia kata Indonesia. Saya sekali lagi tanya kenapa tidak gajikan Melayu. Dia jawab dia pernah ambil tetapi tidak ada yang kekal kerana keadaan kerja terlalu panas untuk bekerja.
Hari ini, kita ada berjuta pekerja asing kerana sesetengah orang kita tidak mahu kerja. Melayu marah saya kata mereka malas tetapi inilah kebenarannya.
Jika kita tidak mahu kerja, orang lain akan datang ambil tempat kita. Akhirnya, orang lain akan jadi kaya dan miliki negara ini dan kita tidak boleh marah pada mereka.
Cina dan India datang kerana kita tidak mahu kerja di lombong atau estet. Kita hanya mahu tanam padi kerana anda hanya perlu kerja beberapa bulan untuk tanam padi.
S: Apa yang perlu berubah?
Dr Mahathir: Paling penting ialah orangnya dan sistem nilai mereka. Sistem nilai mereka salah dan ia tidak akan membawa kejayaan.
Melayu dan Indonesia sama saja tetapi budaya mereka berbeza. Saya tahu kontraktor beritahu mereka lebih suka pekerja Indonesia kerana mereka akan kerja kuat.
Bila kita perkenalkan penanaman dua kali untuk padi, PAS beritahu semua orang “tak kering hujung kain”. Itu pentingkah jika tidak ada duit dalam poket? Sistem nilai mereka semua salah.
Kita perlu mula di peringkat tadika kerana ibu bapa tidak ada masa untuk ajar anak mereka. Kita akan ke sekolah-sekolah untuk ajar sistem baharu yang sepatutnya ada pada mereka.
Bagi Melayu, sistem terbaik ialah nilai Islam yang menganjurkan banyak benda baik. Tetapi mereka tidak ikut. – 29 Disember, 2018.
Baca berita penuh di sini.
Komen