Tokyo, Seoul bertelagah isu radar senjata


Imej yang disiarkan oleh Kementerian Pertahanan Jepun menunjukkan sebuah kapal perang Korea Selatan menghidupkan sistem radar senjata ke atas pesawatnya. – Gambar Japan Maritime Self-Defence Force, 28 Disember, 2018

PERTIKAIAN antara Seoul dan Tokyo semakin berlanjutan apabila Jepun mendakwa kapal perang Korea Utara menghidupkan sistem sasaran senjata terhadap sebuah pesawat Jepun.

Jepun turut menyiarkan satu rakaman video insiden itu bagi mengukuhkan dakwaan mereka.

Bagaimanapun Korea Selatan mengecam penyiaran rakaman itu dan sekali lagi menolak dakwaan Jepun.

Ketegangan antara kedua-dua negara bermula apabila pada minggu lalu Jepun menuduh kapal perang Korea Selatan sengaja menyasarkan sistem kawalan senjata ke arah sebuah pesawat peronda Jepun di Laut Jepun.

Seoul menafikan dakwaan itu dan menjelaskan bahawa kapal pemusnahnya mencari bot nelayan Korea Utara yang hanyut di kawasan lautnya.

Bagi meredakan ketegangan, kementerian pertahanan kedua-dua mengadakan sidang video pada Khamis dan bertukar padangan bagi menyelesaikan salah faham itu, kata wakil dari Korea Selatan.

Namun kementerian pertahanan Jepun hari ini menyiarkan video selama 13 minit yang dirakam oleh pesawat yang terlibat dalam insiden itu bagi mengukuhkan dakwaannya.

Tokyo berkata rakaman itu menunjukkan detik-detik pesawat itu ‘ditembak’ beberapa kali olah radar kawalan tembakan senjata kapal perang Korea.

Perbalahan itu memburukkan lagi hubungan diplomatik kedua-dua negara yang masih bertelagah berhubung perebutan sebuah pulau yang dikawal oleh Seoul, tetapi dituntut oleh Tokyo.  – AFP, 28 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen