Rogol pemain, presiden bola sepak Afghan diilarang ke luar negara


Presiden AFF Keramuddin Karim dipercayai mengugut mangsa dengan mengacukan pistol sebelum merogolnya. – Gambar AFP, 28 Disember, 2018.

LIMA pegawai tertinggi Persatuan Bola Sepak Afghanistan (AFF) dikenakan hukuman larangan ke luar negara selepas didakwa melakukan serangan seksual ke atas pemain bola sepak wanita negara itu.

Seorang pemain yang menjadi mangsa kejadian itu memberitahu akhbar Britain The Guardian bahawa Presiden AFF Keramuddin Karim dipercayai mengugut mangsa dengan mengacukan pistol sebelum merogolnya.

Seorang lagi pemain mendakwa Karim mengugut untuk menyelar lehernya selepas dia berjaya melarikan diri daripada dirogol.

Tiada maklum balas daripada pihak AFF berhubung kejadian itu.

Susulan laporan itu, peguam negara Afghanistan mengenakan hukuman larangan penerbangan dan larangan ke luar negara ke atas lima pegawai AFF termasuk Karim.

Awal bulan ini, peguam negara mengarahkan penggantungan lima pegawai itu bagi membantu siasatan kes tersebut yang mula dilaporkan oleh Guardian pada November.

Badan bola sepak dunia FIFA turut menggantung khidmat Karim selama 90 hari berhubung dakwaan itu.

Akhbar Britain itu sebelum ini mendakwa beberapa pegawai AFF melakukan perbuatan terkutuk itu di ibu pejabat AFF dan kem latihan di Jordan pada Februari lalu.

Presiden Afghanisatan Ashraf Ghani mengarahkan peguam negara untuk menjalakan siasatan terperinci terhadap kes yang disifatkan sebagai mengejutkan itu. – AFP, 28 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen