TENTERA Syria memasuki bandar utama Manbij buat kali pertama dalam tempoh enam tahun hari ini, sekali gus membentuk pakatan baharu bersama milita Kurdish, Unit Perlindungan Rakyat (YPG).
Pengumuman itu dibuat selepas kumpulan bersenjata Kurdish itu meminta bantuan tentera kerajaan untuk mengekang kemaraan tentera Turki susulan pengunduran askar Amerika Syarikat (AS).
Tentera Turki melancarkan operasi ketenteraan di Syria bagi memerangi milita YPG yang mencetuskan pemberontakan di republik tersebut.
Tentera Syria sebelum ini tidak dibenarkan memasuki kawasan itu kerana askar AS membantu penentang kerajaan untuk menggulingkan rejim Presiden Bashar al-Assad selain menghalang campur tangan tentera Turki.
Jurucakap tentera Syria berkata bendera negara itu dikibarkan di Manbij, bandar penting yang terletak kira-kira 30 kilometer dari sempadan Turki.
Kumpulan milita itu memohon bantuan itu selepas sekutunya, AS mengumumkan pada minggu lalu untuk mengundurkan tentera dari Syria.
YPG meminta tentera kerajaan mengambil-alih bandar itu yang sebelum ini dikawal oleh kumpulan militia tersebut bersama tentera AS.
Pejuang Kurdish itu masih berkubu di beberapa kawasan di bandar itu dan berjuang bersama tentera kerajaan untuk memerangi militan Daesh. – AFP, 28 Disember, 2018.
Komen