Pihak berkuasa AS salahkan ibu bapa kanak-kanak migran mati dalam tahanan


Salah seorang imigran dari Guatemala yang berada di sempadan Mexico-AS bagi mendapatkan suaka politik di Amerika Syarikat. – Gambar EPA, 28 Disember, 2018

SEMUA kanak-kanak migran yang ditahan Pengawal Sempadan Amerika Syarikat kini perlu menjalani pemeriksaan kesihatan lebih ketat selepas dua kanak-kanak rakyat Guatemala meninggal dunia ketika berada di bawah tahanan agensi itu selang beberapa hari.

Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kirstjen Nielsen, dalam satu kenyataan menyebut “Tragedi ini, kematian seorang kanak-kanak ketika berada di bawah tahanan kerajaan adalah amat membimbangkan dan begitu menyayat hati. Dalam tempoh 24 jam lepas, saya telah mengarahkan beberapa siri tindakan tambahan untuk menjaga mereka yang berada di bawah tahanan kami.”

Beliau berkata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri telah menyiasat kedua-dua kes.

Beliau juga telah “terlibat secara peribadi dengan Pusat bagi Kawalan Penyakit untuk meminta agar pakar mereka menyiasat peningkatan bilangan kanak-kanak sakit yang menyeberangi sempadan kami.”

Felipe Gomez-Alonzo, seorang kanak-kanak migran dari Guatemala yang berusia lapan tahun telah meninggal dunia pada awal Hari Krismas selepas ditahan oleh Pengawal Sempadan Amerika Syarikat. 

Dia meninggal dunia beberapa hari selepas kematian seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun, Jakelin Caal, juga berasal dari Guatemala. 

Caal meninggal dunia akibat dehidrasi selepas ditahan bersama bapanya di sebuah kawasan terpencil di New Mexico.

Tanpa menyentuh cara pihak berkuasa sempadan melayan imigran yang mempunyai hak di bawah undang-undang antarabangsa untuk memohon suaka, Nielsen sebaliknya mengalih beban tanggungjawab itu kepada ibu bapa kanak-kanak terbabit, yang didakwa “telah membawa anak mereka bersama dalam satu perjalanan yang berbahaya dan menyalahi undang-undang” sambil menambah bahawa ibu bapa terbabit tidak berdepan akibat daripada tindakan mereka. – Bernama, 28 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen