Bersatu belum putuskan untuk terima pemimpin Umno, kata Muhyiddin


Noel Achariam

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin ketika bercakap kepada pemberita pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang diadakan di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 28 Disember, 2018

BERSATU masih belum memutuskan sama ada untuk menerima mana-mana pemimpin Umno yang meninggalkan parti itu, kata Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu berkata, masih belum ada sebarang permohonan diluluskan kerana ia perlu melalui “tempoh bertenang”.

“Walaupun mereka memegang apa-apa jawatan, mereka masih perlu melalui proses saringan.

“Kita perlu pastikan mereka tidak korup dan sekiranya mereka layak secara politik untuk menyertai parti,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Putrajaya hari ini.

Umno setakat ini kehilangan 17 ahli Parlimen, yang meninggalkan parti Barisan Nasional dengan 37 dari 54 kerusi persekutuan yang dimenanginya dalam PRU14.

Ahli Parlimen yang mengisytiharkan mereka sebagai bebas dijangka akan menyertai Bersatu dalam masa terdekat.

Muhyiddin juga berkata, mereka yang merancang untuk menyertai Bersatu mesti selari dengan perjuangan parti itu.

“Kita perlu lihat sama ada mereka sedia untuk menyumbang kepada apa yang kita perjuangkan sebagai parti politik,” katanya.

Bekas pemimpin Umno, Rahim Thamby Chik sebelum ini turut menyerahkan borang permohonannya untuk menyertai Bersatu.

Minggu lalu, timbalan presiden Umno Mohamad Hasan yang menjalankan tugas presiden berkata, wakil rakyat mereka selesa dengan kepimpinan sekarang dan tidak akan ada lagi pembelotan.

Katanya, tindakan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang bercuti daripada menjalankan tugasnya akan menghentikan ahli Parlimen dan Adun daripada keluar parti.

Mohamad berkata, fokus utama Umno adalah untuk memperkukuhkan parti dan mengatur strategi untuk Pilihan Raya Umum ke 15.

Katanya, mereka perlu mengatur dan menstruktur semula Umno dalam usaha untuk memperkukuhkan parti.– 28 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen