HAMPIR 1,000 butiran peribadi pembelot Korea Utara yang tinggal di Korea Selatan, didedahkan dalam satu kes penggodaman, sekali gus menyebabkan nyawa mereka berpotensi diancam Pyongyang.
Kementerian Perpaduan Korea Selatan dalam kenyataannya berkata kes itu merupakan yang pertama berlaku melibatkan data peribadi termasuk nama dan alamat pembelot Korea Utara dicuri dalam skala yang besar.
Kejadian penggodaman itu berlaku di sebuah pusat perkhidmatan yang diwujudkan untuk membantu pembelot Korea Utara untuk tinggal di Korea Selatan.
Data sulit itu digodam dari sebuah komputer peribadi di Pusat Hana di wilayah Gyeongsang Utara.
Terdapat 25 pusat yang sama di seluruh Korea Selatan untuk membantu kira-kira 30,000 rakyat Korea Utara yang berpaling tadah dan tinggal di negara itu.
Selepas mengesahkan kejadian itu pada minggu lalu, pihak berkuasa melakukan pemeriksaan di semua komputer di Pusat Hana tetapi tiada maklumat lain yang bocor.
Media Korea Utara turut mengeluarkan laporan untuk mengancam pembelot yang terlibat dalam kempen anti-Pyongyang. – AFP, 28 Disember, 2018.
Komen