TENTERA Myanmar menuduh puak pemberontak menyerang dan membunuh askarnya, seminggu selepas gencatan senjata dilaksanakan serta-merta oleh tentera kerajaan.
Minggu lalu, tentera negara itu mengumumkan untuk menggantung semua operasi ketenteraan di wilayah bergolak di utara dan timur negara itu selama empat bulan, bagi membuka jalan rundingan menamatkan pemberontakan di kawasan tersebut.
Kerajaan berharap langkah itu akan menarik minat kumpulan etnik bersenjata ke meja rundingan tetapi tiada tanda-tanda menunjukkan mereka berminat untuk menamatkan pemberontakan itu.
Insiden serangan ke atas tentera di negeri Shan semalam membuktikan puak bersenjata tidak ambil kisah terhadap gencatan senjata yang dilaksanakan oleh askar kerajaan.
Pihak tentera turut menyalahkan laporan media tempatan yang mendakwa berlakunya pertempuran antara askar kerajaan dan puak pemberontak.
Walaupun tentera mengambil pendirian untuk menggantung operasi, pertempuran antara kumpulan bersenjata masih berterusan.
“Situasi di kawasan pertempuran amat rumit,” kata jurucakap Tentera Pembebasan Kebangsaan Taaung (TNLA) Brigadier Jeneral Tarr Phone Kyaw, satu daripada kumpulan etnik terbesar yang memerangi tentera kerajaan di wilayah timur laut Myanmar.
TNLA terlibat dalam pertelagahan dengan satu lagi puak pemberontak iaitu Tentera Negeri Shan (SSA).
Tarr Phone Kyaw berkata pihaknya menghormati gencatan senjata oleh tentera kerajaan dan tiada serangan dilancarkan ke atas mereka.
“Kami diarahkan berkubu di kawasan masing-masing,” katanya.
Konflik di Myanmar itu semakin buruk sejak negara itu mendapat kemerdekaan dari Britain kira-kira 70 tahun lalu apabila beberapa kumpulan bersenjata berjuang untuk mendapatkan hak autonomi, sumber, identiti dan wilayah.
Proses damai menjadi keutamaan pemimpin negara itu Aung San Suu Kyi sejak beliau memenangi pilihan raya pada 2015 tetapi perkembangan rundingan itu tidak banyak berubah dan gagal menghentikan sebarang pertumpahan darah di wilayah terbabit. – AFP, 28 Disember, 2018.
Komen