Guru tadika di China masuk penjara kerana 'skandal jarum'


Liu Yanan, guru di tadika RYB Education New World, mencucuk anak-anak muridnya dengan jarum pada November 2017, menurut Mahkamah Chaoyang Beijing. – Gambar AFP, 28 Disember, 2018.

MAHKAMAH di Beijing hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas seorang guru tadika kerana mendera anak muridnya dengan jarum.

Keputusan mahkamah itu mencetuskan kemarahan orang ramai yang menyifatkan hukuman itu terlalu ringan.

Liu Yanan, guru di tadika RYB Education New World, mencucuk anak-anak muridnya dengan jarum pada November 2017, menurut Mahkamah Chaoyang Beijing. 

Siasatan yang dijalankan ke atas tadika terbabit bermula apabila ibu bapa menemui bekas cucukan jarum pada anak mereka yang belajar di sekolah yang menggunakan bahasa perantaraan Mandarin-Inggeris itu.

“Keadaannya teruk. Tindakan guru itu menjejaskan anak-anak secara fizikal dan mental,” kata mahkamah dalam satu kenyataan. Bagaimanapun, mahkamah berkata kecederaan yang dialami murid bukan kecederaan kekal.

Liu juga dilarang bekerja dengan kanak-kanak selama lima tahun selepas menjalani hukuman.

RYB Education adalah sebuah syarikat rangkaian tadika tersenarai di New York. Syarikat itu memohon maaf atas kejadian yang berlaku dan menegaskan yang ia dilakukan oleh seorang individu.

RYB mempunyai 500 tadika dan hampir 1,300 pusat pembelajaran bagi kanak-kanak berumur enam tahun di seluruh China.

Skandal ini bukanlah yang pertama melanda syarikat itu.

Pada April 2017, RYB menggantung guru besar sebuah tadikanya di Beijing selepas video menunjukkan seorang guru mencampak murid di atas katil manakala seorang lagi murid ditendang dari belakang.

Pada 2016, dua orang guru di sekolah tadika RYB di timur laut wilayah Jilin dipenjarakan selama 34 bulan kerana mencucuk kepala, mulut dan punggung murid dengan jarum. – AFP, 28 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen