ENAM lelaki ditahan polis Vietnam kerana membunuh dan memakan spesies monyet terancam sambil menyiarkan perbuatan itu secara langsung di media sosial.
Keenam-enam lelaki tersebut yang berusia antara 35 dan 59 tahun, merakam aktiviti memakan seekor monyet langur secara hidup-hidup dan menyiarkan rakaman itu di Facebook pada 17 November lalu.
Perbuatan mereka itu dikesan oleh polis dan ditahan semalam.
Mereka dituduh melanggari peraturan perlindungan haiwan terancam dan kesemuanya mengaku melakukan jenayah itu.
Seorang daripada lelaki itu mengakui membeli monyet itu daripada pemburu haram dengan harga AS$49.
Monyet langur merupakan antara spesies terancam di dunia dan hanya boleh ditemui di utara Vietnam.
Negara itu juga menjadi habiat beberapa spesies terancam lain seperti kura-kura Yangtze, saola dan monyet Tonkin.
Masalah penyeludupan dan aktiviti memakan spesies yang hampir pupus amat berleluasa di Vietnam kerana penduduknya percaya pada khasiat yang terdapat pada haiwan tersebut.
Penjualan haiwan itu hanya boleh didapati di pasaran gelap dan aktiviti memakannya tidak dilakukan secara terbuka kerana Vietnam menguatkuasakan undang-undang yang ketat bagi melindungi haiwan itu.
Namun pengkritik berkata penguatkuasaan undang-undang di negara itu masih lemah kerana kegiatan penjualan haiwan terancam itu masih lagi berlaku. – AFP, 28 Disember, 2018
Komen