Batalkan ECRL dan projek lain untuk langsaikan hutang Malaysia, kata Dr M


Looi Sue-Chern

Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion adalah projek yang dianggap Dr Mahathir tidak perlu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2017.

PROJEK-projek yang tidak perlu yang dibuat kerajaan persekutuan boleh dibatalkan untuk melangsaikan hutang kerajaan, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang pernah mentadbir negara selama 22 tahun dari 1983 hingga 2003 itu berkata Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion adalah projek yang dianggapnya tidak perlu.

“ECRL boleh dibatalkan. Pantai Timur sudah ada landasan kereta api lebih daripada 100 tahun tetapi ia tidak pernah beri keuntungan.

“Orang boleh naik kapal terbang dari Pantai Timur ke Kuala Lumpur. Keretapi tak popular, ia akan bawa kerugian,” kata Dr Mahathir dalam temubual menerusi Facebook awal hari ini bersama Ketua Srikandi Bersatu, Rina Harun. Dr Mahathir adalah pengerusi Bersatu.

Ketika melancarkan projek ECRL awal bulan ini, Perdana Menteri Najib Razak menyifatkannya sebagai “game charger” dan “mindset charger” untuk Malaysia kerana ia akan memendekkan masa perjalanan pergi dan balik ke Pantai Timur.

Dr Mahathir ditanya bagaimana PH akan melangsaikan hutang negara hampir RM1 trilion dan sama ada PH akan meneruskan projek-proojek yang diumumkan pentadbiran Najib sekiranya pakatan pembangkang itu berjaya mengambil alih Putrajaya.

Beliau menyenaraikan beberapa projek mega lain dan kos-kos pembinaan.

“ECRL, RM55 bilion; Rel Berkelajuan Tinggi (HSR), RM60 bilion; dan Transit Aliran Massa (MRT), RM50 bilion. Semua ini boleh diuruskan dengan mengurangkan projek-projek yang tidak penting,” katanya.

Dalam temubual itu, Dr Mahathir menjawab soalan yang dikemukakan pengguna Facebook. Seorang pengguna bertanya adakah benar Najib tidak mempunyai kuasa untuk mengawal harga minyak.

“Kita tiada kuasa untuk menetapkan harga minyak global, tetapi kita boleh mengurangkan harga runcit minyak dalam negara.

“Harga runcit adalah termasuk cukai. Kalau kita kurangkan cukai dan naikkan subsidi, harga minyak boleh dikurangkan,” katanya. – 24 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen