Sorotan 2018


Asila Jalil

Kejayaan Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya pada PRU14 menjadi tajuk utama berita di seluruh dunia sehingga Malaysia dijadikan contoh demokrasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2018.

BANYAK perkara yang berlaku di Malaysia sepanjang 2018, terutamanya keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas. Selain PRU14 menjadi tajuk utama berita di seluruh dunia sehingga Malaysia dijadikan contoh demokrasi, tahun ini juga mencatatkan perkara penting lain.

The Malaysian Insight membawa anda menyorot apa yang berlaku sepanjang 2018:

JANUARI

  • Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama anak memerlukan persetujuan ibu bapa. Keputusan susulan kes penukaran agama sepihak anak kepada M. Indira Gandhi yang beragama Hindu dan bekas suaminya yang beragama Islam.
  • Dr Mahathir Mohamad dinamakan sebagai calon perdana menteri bagi Pakatan Harapan dan Dr Wan Azizah Wan Ismail yang ketika itu presiden PKR sebagai timbalan beliau.

Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama anak memerlukan persetujuan ibu bapa, susulan kes penukaran agama sepihak anak kepada M Indira Gandhi yang beragama Hindu dan bekas suaminya yang beragama Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2018.

FEBRUARI

  • Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan ke atas bekas ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan bekas kerani Public Bank Johari Mohamad yang didapati bersalah kerana melanggar Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia) berhubung kebocoran akaun National Feedlot Corporation Sdn Bhd. Walaupun memilih untuk merayu, Rafizi mengumumkan tidak akan bertanding dala PRU14.
  • Pihak berkuasa Indonesia menyita kapal pesiar Equanimity yang Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) dakwa dibeli menggunakan wang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang diseleweng.

Kapal pesiar mewah Equanimity tiba di Boustead Cruise Centre di Pelabuhan Klang selepas diserahkan oleh pihak berkuasa Indonesia pada 7 Ogos. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2018.

MAC

  • Pakatan Harapan lancar manifestonya, Buku Harapan, dan berikrar untuk memenuhi 10 janji dalam tempoh 100 hari.
  • Dewan Rakyat meluluskan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya selepas pentadbiran Barisan Nasional menggunakan majoriti untuk mendapat 129 undi bersetuju manakala 80 menolak.

Pemimpin Pakatan Harapan ketika mengumumkan manifesto pada Mac. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2018.

APRIL

  • Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 diluluskan di peringkat dasar di Dewan Rakyat. Ia diluluskan dengan 123 menyokong manakala 64 menolak.

MEI

  • Barisan Nasional buat pertama kalinya kalah dalam PRU14. Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya.
  • Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan Malaysia menanggung hutang sebanyak RM1 trilion.
  • Anwar Ibrahim diberi pengampunan diraja selepas Pakatan Harapang menang PRU14 dan dibebaskan dari penjara beberapa minggu lebih awal.
  • Dr Mahathir tubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan yang bertujuan untuk memberi nasihat kepada perdana menteri berkaitan sosio-ekonomi dan kewangan. Majlis ini terdiri daripada  bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden merangkap ketua pegawai eksekutif Petronas Hassan Merican, jutawan Robert Kuok dan ahli ekonomi terkemuka Dr Jomo Kwame Sundaram.

Dr Mahathir Mohamad mengadakan sidang media di Petaling Jaya pada malam 10 Mei bagi mengumumkan kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU14, sekali gus merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2018.

JUN

  • Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan pada 1 Jun.
  • Peguam terkemuka, Tommy Thomas dilantik sebagai peguam negara.
  • Seorang peraih getah berusia 41 tahun dilaporkan mengahwini seorang kanak-kanak Thai berusia 11 tahun, sebagai isteri ketiganya. Ia mencetus kemarahan dari pelbagai pihak di seluruh negara dan antarabangsa dan perdebatan hebat mengenai kes perkahwinan bawah umur di Malaysia.

JULAI

  • Pilihan raya kecil pertama diadakan di Sungai Kandis selepas Adun dari PKR, Mat Shuhaimi Shafie meninggal dunia akibat barah.
  • Bekas perdana menteri Najib Razak dihadapkan dengan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

OGOS

  • Majlis Penasihat Kerajaan dibubarkan selepas 100 hari.
  • Satu lagi pilihan raya kecil diadakan di Balakong susulan kematian Adun dari DAP, Eddie Ng dalam kemalangan jalan raya.
  • Pakatan Harapan mansuh Akta Antiberita Tidak benar dengan undi mudah.
  • Pilihan raya kecil ketiga diadakan di Seri Setia susulan kematian Adun dan Exco Selangor, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia akibat barah.
  • Najib didakwa dengan tiga tuduhan pengubahan wang haram berhubung transaksi sama, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor dihadapkan ke mahkamah kerana beberapa kes termasuk pengubahan wang haram dan rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2018.

SEPTEMBER

  • Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman sebat ke atas dua wanita selepas didapati bersalah cuba melakukan hubungan seks sejenis. Mereka yang berusia 22 dan 32 tahun itu dikenakan hukuman enam sebatan.
  • Najib dihadapkan dengan 25 pertuduhan rasuah berkaitan skandal 1MDB. Tuduhan terbaru itu termasuk empat tuduhan salah guna kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
  • Danyal Balagopal Abdullah letak jawatan sebagai ahli Parlimen Port Dickson bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim.

OKTOBER

  • Anwar menang pilihan raya kecil Port Dickson dengan 31,016 undi.
  • Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi didakwa dengan 45 pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM114.15 juta.
  • Isteri Najib, Rosmah Mansor, dihadapkan dengan 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan kegagalan mengisytihar pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Anwar Ibrahim memenangi pilihan raya kecil Port Dickson dengan 31,016 undi pada 13 Oktober. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2018.

NOVEMBER

  • Pakatan Harapan bentang belanjawan Persekutuan pertamanya, Belanjawan 2019.
  • Sekumpulan lelaki bertopeng menyerang Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya pada jam 2 pagi. Beberapa orang cedera dan bebrapa buah kereta terbakar, mencetus rusuhan selama dua hari.
  • Ketua Audit Negara Madinah Mohamad mengesahkan laporan audit 1MDB dipinda untuk menghapuskan fakta bahawa ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho hadir pada mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.
  • Rosmah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan dua pertuduhan rasuah berhubung projek hibrid solar untuk sekolah-sekolah di Sarawak.

DISEMBER

  • Beberapa kumpulan hak Melayu, penyokong Umno dan PAS mengadakan perhimpunan anti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Ribuan orang berhimpun di jalan-jalan raya sekitar Kuala Lumpur. Himpunan berakhir dengan aman.
  • Anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, meninggal dunia akibat cedera parah ketika rusuhan kuil Seafield.
  • Seramai 16 ahli Umno termasuk sembilan wakil rakyat, lima ahli Parlimen dan dua senator di Sabah keluar parti. – 31 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen