'Jaket kuning’ Perancis rancang demo Tahun Baru


Protes jaket kuning tercetus kerana rakyat Perancis tidak berpuas hati dengan pentadbiran Emmanuel Macron yang dianggap mereka pro orang kaya. – Gambar EPA, 28 Disember, 2018.

PROTES anti kerajaan “jaket kuning” yang menggemparkan Perancis akan diadakan esok dan menjelang Tahun Baru yang akan berterusan sehingga 2019, kata beberapa sumber pergerakan semalam.

“Jaket kuning masih digerakkan,” kata Laetitia Dewalle, salah seorang jurucakap pergerakan yang tidak mempunyai struktur kepimpinan tradisional.

Beberapa wakil pergerakan berkata protes hari Sabtu buat kali ketujuh berturut-turut akan diadakan di seluruh negara pada hujung minggu ini.

Wakil jaket kuning Benjamin Cauchy juga berkata penunjuk perasaan akan keluar menjelang Tahun Baru, “untuk menunjukkan yang pergerakan ini tidak akan terhenti pada tahun baru”.

Cauchy juga memberi amaran sekiranya tidak ada langkah tambahan dibuat Presiden Emmanuel Macron, “kami akan berakhir dengan pergerakan besar-besaran pada hujung Januari”.

Semalam, pegawai bandar Paris berkata sambutan Tahun Baru di Champs-Elysees akan diteruskan walaupun wujud rancangan bantahan dilakukan di kawasan terkenal itu.

Ribuan pelancong dan warga tempatan selalunya membanjiri kawasan terkenal membeli belah itu yang berakhir di Arc de Triomphe.

Champs-Elysees sejak bulan lepas menjadi kawasan tumpuan protes ganas terhadap kerajaan Macron, malah Arc de Triomphe turut diserbu pada 1 Disember.

Walaupun jumlah mereka yang datang dari seluruh negara sudah berkurangan, beribu orang menyatakan hasrat untuk menghadiri tunjuk perasaan yang dipromosikan di Facebook, disifatkan sebagai “majlis keraian dan tidak ganas” pada tahun baru.

Pegawai Paris juga berkata mereka akan meneruskan rancangan untuk pertunjukan bunga api, bunyi dan cahaya di Champs-Elysees di bawa tema “persaudaraan”.

Kawasan itu adalah kawasan yang selalu jadi tumpuan sambutan kebangsaan seperti Hari Bastille, Tour de France serta kejayaan Piala Dunia pasukan Perancis.

Tetapi pada hari Sabtu beberapa bulan ini, pertempuran ganas antara polis dan penunjuk perasan yang menuduh Macron memihak kepada golongan kaya dalam dasarnya mula tercetus.

Pergerakan itu bermula dengan kempen dalam talian pada Oktober sebelum merebak menjadi krisis paling buruk pentadbiran Macron, apabila ribuan orang turut untuk tunjuk perasaan dan menghalang jalan raya di seluruh Perancis.

Macron berusaha meredakan krisis itu pada pertengahan Disember dengan mengumumkan bantuan bernilai €10 bilion (RM47 bilion) untuk membantu pesara dan pekerja gaji rendah.

Sejak itu, kumpulan jaket kuning terpecah kepada mereka yang bersedia berunding dengan kerajaan dan mereka yang mahu terus mengadakan bantahan jalanan.

Priscillia Ludosky, yang melancarkan kempen dalam talian terhadap peningkatan cukai minyak pada Mei dan dianggap memainkan peranan utama dalam pergerakan itu berkata langkah diumumkan Macron adalah “tidak mencukupi dan tidak berhasrat membantu meningkatkan kualiti hidup orang Perancis.” – AFP, 28 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen