TENTERA Laut Maghribi menyelamatkan 367 pendatang kebanyakannya dari negara Afrika sub-Sahara yang mahu ke Sepanyol, di laut Mediterranean semalam, menurut sumber tentera.
Pendatang yang diselamatkan itu termasuk wanita dan kanak-kanak yang menaiki beberapa kapal sementara, kata sumber itu.
“Kesemua mereka dibawa ke pelabuhan berdekatan dengan selamat.”
Mengikut data rasmi yang dikeluarkan baru-baru ini, Maghribi berjaya menahan 68,000 pendatang asing tanpa izin dan membongkar 122 rangkaian jenayah aktif, dalam tempoh sembilan bulan pertama pada tahun ini.
Selain pendatang Afrika sub-Sahara, jumlah belia Maghribi yang cuba meninggalkan negara itu menggunakan perahu kecil juga semakin meningkat kebelakangan ini.
Menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), sekurang-kurangnya 769 pendatang terbunuh ketika cuba merentasi Mediterranean barat sejak awal tahun ini berbanding 224 pada 2017.
Sepanyol menjadi pintu masuk utama pendatang tanpa izin ke Eropah tahun ini, selain Greece dan Itali.
Lebih 55,000 pendatang tiba di Sepanyol melalui jalan laut pada tahun ini, kata IOM. – AFP, 28 Disember, 2018.
Komen