LAPAN bahagian Bersatu di Perak tidak jadi perwakilan ke perhimpunan agung parti esok kerana belum menyelesaikan mesyuarat di peringkat bahagian atas pelbagai sebab, kata Setiausaha Agung parti, Marzuki Yahya.
Kelewatan itu timbul antaranya kesan krisis kepimpinan parti di Perak setahun yang lalu selepas Hamidah Osman, salah seorang pengasas Bersatu, keluar parti, jelas beliau.
Menurut Marzuki, wakil dari lapan bahagian antaranya Bagan Serai, Larut, Tapah dan Gopeng itu bagaimanapun masih boleh menyertai perhimpunan agung kali ini sebagai pemerhati khas.
Lapan bahagian berkenaan antara 20 bahagian Bersatu dari beberapa negeri yang tidak layak jadi perwakilan ke perhimpunan kedua parti itu, jelas beliau.
“Bersatu setakat ini ada 165 bahagian tetapi yang layak hadir persidangan 145 bahagian.
Selebihnya akan jadi pemerhati kerana ada antara bahagian itu yang baru diluluskan pendaftaran,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Seorang daripada lapan ketua bahagian terlibat yang dihubungi The Malaysian Insight mengesahkan pihaknya akan hadir sebagai pemerhati.
Beliau yang enggan dinamakan turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa lapan bahagian berkenaan “memalsukan” minit mesyuarat yang dihantar ke ibu pejabat parti.

“Kita akan datang sebagai pemerhati tetapi kita tidak pernah buat perkara memalsukan mesyuarat,” katanya.
Perlembagaan Bersatu menetapkan setiap bahagian perlu mengadakan persidangan sekali setahun tidak kurang 60 hari sebelum tarikh perhimpunan agung parti.
Kebanyakan bahagian dalam Bersatu ditubuhkan tidak sampai setahun dan sesetengahnya masih belum mendaftarkan cawangan.
Marzuki menjelaskan pendaftaran lapan bahagian di Perak itu lambat diluluskan kerana ada pemimpinnya yang letak jawatan serta meninggalkan parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 tujuh bulan lalu, jelas Marzuki.
“Ia bermula rentetan daripada Hamidah yang keluar parti. Ada bahagian yang tinggalkan parti juga. Tetapi sebab selepas itu akan ada pilihan raya maka kita fokus,” katanya lagi.
Hamidah letak jawatan naib presiden parti serta ketua bahagian Gopeng pada 16 September 2017, setahun selepas penubuhan parti.
Ahli Bersatu Perak juga ketika itu dilaporkan beramai-ramai meninggalkan parti bongsu gabungan Pakatan Harapan itu.
“Jadi bila pemimpin tidak lengkap maka mereka tidak boleh bermesyuarat. Jawatankuasa tidak lengkap, tidak mengikut peraturan persidangan,” kata beliau, yang juga pengerusi Bersatu Pulau Pinang. – 28 Disember, 2018.
Komen