RUNDINGAN antara Demokrat dan Republikan gagal semalam untuk menamatkan penutupan sebahagian kerajaan AS, menyebabkan ia akan berlanjutan minggu depan untuk menghentikan tuntutan Presiden Donald Trump yang mahukan dana untuk pembinaan tembok.
Selepas duduk hanya beberapa minit pada cuti sempena Krismas, Senat yang hampir kosong ditangguhkan sehingga jam 10 lagi Isnin depan dan hanya akan meneruskan perdebatan bajet pada Rabu depan, hari ke-12 kerajaan ditutup.
Kedua-dua pihak tidak mahu mengalah, dengan Demokrat enggan meluluskan pembiayaan projek Trump dan presiden bertegas beliau tidak akan memberikan pembiayaan penuh kepada kerajaan sehinggalah tuntutan temboknya diluluskan.
Jurucakap White House Sarah Sanders menuduh Demokrat “secara terbuka memilih untuk menutup kerajaan untuk melindungi pendatang haram berbanding rakyat Amerika.”
Katanya, Trump “tidak akan menandatangani cadangan yang tidak mengutamakan keselamatan dan sekuriti negara kita.”
Selagi mana titik penyelesaian debat tembok tidak diselesaikan, perbelanjaan yang lain termasuklah gaji hampir 800,000 pekerja kerajaan persekutuan akan disekat dan beberapa agensi penting kerajaan tidak dapat berfungsi.
Trump berkata AS$5 bilion diperlukan untuk menambahbaik dan meningkatkan keselamatan antara sempadan AS dan Mexico. Penentangnya, termasuklah beberapa wakil Republikan menuduh presiden membesar-besarkan bahaya isu pendatang demi manfaat politiknya. – AFP, 28 Disember, 2018.
Komen