SIASATAN ke atas skandal koleksi jam tangan mewah milik orang kuat junta nombor dua Thailand digugurkan semalam, mencetuskan kecaman awam dan lawan politik junta tentera.
Agensi anti korupsi Thailand mengatakan “tiada sebab” untuk siasatan diteruskan ke atas skandal jam tangan mewah terpalit Prawit Wongsuwan, yang menyelubungi negara itu awal tahun ini dan menimbulkan kecaman awam yang sangat jarang berlaku dalam negara yang sudah empat tahun diperintah tentera itu.
Pemimpin berusia 73 tahun itu dirakam Disember lalu memakai jam tangan mewah, menyebabkan pengguna internet mula “menggali” gambar lama sekurang-kurangnya 22 jam tangan mewah dipakainya yang mencecah AS$1.2 juta (RM4.8 juta), termasuklah 11 Rolex, lapan Patek Philippe dan tiga Richard Mille.
Persoalan timbul bagaimana seorang jeneral yang hanya mendapat gaji penjawat awam mampu memilik barangan mewah tersebut walaupun mengisytiharkan hartanya hanyalah sekitar AS$2.7 juta, menyebabkan agensi anti rasuah memulakan siasatan.
Suruhanjaya Anti Korupsi Nasional (NACC) semalam pada sidang media mengumumkan panel siasatan lapan orang membatalkan siasatan kes itu dengan undi 5 berbanding 3.
“Kes ini tidak ada sebab (yang boleh dipercayai) bahawa Jeneral Prawit Wongsuwan ada niat…untuk menyembunyikan kebenaran atau menyembunyikan asal usul aset itu,” kata Timbalan Setiausaha NACC Worawit Sukboon.
Siasatan mendapati jam tangan dipakai jeneral tersebut adalah milik kawan yang juga ahli perniagaan kaya, mendiang Pattawat Suksriwong.
“Beliau juga meminjamkan jam tangan mewah kepada kawan-kawannya yang lain.”
Worawit berkata NACC masih menyiasat sekiranya jeneral itu melanggar undang-undang kerana menerima hadiah bernilai lebih AS$92.
Prawit yang juga menteri pertahanan adalah salah seorang dalang rampasan kuasa 2014 yang menjatuhkan kerajaan Yingluck Shinawatra.
Majlis Keamanan dan Aturan Nasional (NCPO), nama rasmi junta tentera sudah lama menggunakan alasan anti rasuah untuk menaikkan namanya, malah ketua junta Prayut Chan-O-Cha juga menyuarkan hasrat bertanding dalam pilihan raya negara itu dijadualkan 24 Februari tahun depan.
Parti terbesar Thailand, Phue Thai, yang diketuai Yingluck dan abangnya, Thaksin mengecam keputusan agensi anti rasuah itu.
“Kami percaya ia pilih kasih. Faktanya adalah tindakan (Prawit) melanggar undang-undang, dan alasan diberikan tidak munasabah,” kata jurucakap parti Ladawan Wongsriwong. – AFP, 28 Disember, 2018.
Komen