BERSATU tidak akan melindungi mereka yang korup, kata Muhyiddin Yassin mengulas dakwaan bekas pemimpin Umno yang berpaling tadah kepada parti Pakatan Harapan akan terlepas daripada pendakwaan jenayah.
Presiden Bersatu itu turut menegaskan yang ahli dan pemimpin yang setia kepada parti itu sebelum mereka membentuk kerajaan juga tidak akan dilindungi sekiranya disyaki melanggar undang-undang.
Muhyiddin juga menafikan dakwaan yang keputusan Bersatu untuk menerima bekas Umno adalah bagi mengukuhkan dan mengembangkang parti tersebut supaya dapat bersaing dengan PKR.
PKR mempunyai jumlah kerusi Parlimen terbanyak berbanding parti komponen PH lain- Bersatu, DAP dan Amanah.
Kemasukan bekas Umno yang mahu menebus dosa dengan menyertai Bersatu akhirnya akan memperkukuh PH, kata Muhyiddin.
“(Bekas pemimpin Umno) tidak akan selamat…jika mereka fikir mereka boleh cari tempat untuk melepaskan diri, mereka silap. Ini (Bersatu) bukan tempat untuk cari perlindungan jika mereka ada buat salah,” kata Muhyiddin pada wawancara khas menjelang Mesyuarat Tahunan Bersatu hujung minggu ini.

Bersatu adalah antara empat parti yang bergabung membentuk kerajaan PH menjadi tarikan ahli dan pemimpin yang meninggalkan Umno, selepas parti Melayu itu hilang kuasa buat pertama kali dalam sejarah penubuhan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lalu.
Sekutu Bersatu dalam PH seperti DAP dan PKR serta pergerakan masyarakat sivil lantang memberi amaran yang cubaan bekas Umno menyertai Bersatu adalah untuk melepaskan diri daripada pendakwaan korupsi-jenayah yang berleluasa ketika pentadbiran Umno dahulu.
Salah satu permohonan memasuki Bersatu yang paling ditentang adalah bekas ketua menteri Melaka Rahim Thamby Chik yang terpalit skandal. Rahim dikaitkan dengan jenayah rogol gadis bawah umur serta antara mereka yang mendedahkan video seks kepada awam yang didakwanya melibatkan Anwar Ibrahim.
Anwar adalah presiden PKR dan dijangka akan mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi Bersatu.
Muhyiddin menegaskan yang pemimpin Umno akan ditapis melalui tiga saringan sebelum diterima. Dua saringan pertama melibatkan pemeriksaan latar belakang dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) sementara saringan ketiga melibatkan semakan rekod politik mereka.
“Saringan politik kalau ada perkara dia buat tak sesuai dengan perjuangan kita, itu adalah hak kita untuk menolak (permohonan), ini jaminan kita (yang saringan akan) lakukan dengan bersungguh-sungguh.
“Jadi kalau mereka yang sudah isytihar, tak semestinya dia boleh masuk (Bersatu), lebih-lebih lagi dia terpalit, belum lagi dia di anggap bersalah tapi, terpalit pun (sudah) cukup (ditolak kemasukan).
“Baik kita cari orang yang tidak terpalit, orang yang tidak apa-apa kesalahan, orang ini lebih kita utamakan,” katanya.

Beliau mengulas kebimbangan disuarakan DAP dan PKR, berkata pemimpin kedua parti ini juga bersedia menerima bekas Umno.
“Lim Kit Siang pun kata kalau ada pemimpin Umno yang nak masuk DAP di alu-alukan, Mohamad Sabu pun alu-alukan orang Umno, pemimpin PKR ada yang kata tidak akan terima tapi ada juga rakan-rakan mereka yang berusaha untuk menarik orang-orang sebegini untuk.”
Menjelaskan situasi tersebut, bekas timbalan perdana menteri yang dipecat Najib Razak itu menjelaskan yang parti PH menyedari mereka masih belum cukup kuat walaupun sudah menang pilihan raya umum lalu.
“Siapa kata PH kuat? Boleh tanya semua presiden parti, saya presiden Bersatu kata kami tak kuat lagi. Kalau hari ini ada orang dah insaf kerana kita dah menang dan nak menyokong tak kisah datang dari mana, sama ada daripada Umno atau tidak, saya tak boleh kata tak boleh (masuk).”
Muhyiddin juga mengulas tentang dakwaan kemasukan beramai-ramai ke dalam Bersatu adalah untuk mengancam keduduk Anwar.
“Saya tak kisah la orang kata ‘kemasukkan ini akan kukuhkan Bersatu dan Dr Mahathir dan ini akan menjadi satu persaingan pimpinan lain PH, Anwar akan tercabar, ini politik’ tapi kita dah terikat, ada persefahaman kita. Jadi dilihat dari konteks positif, penerimaan ini tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang tidak baik.” – 28 Disember, 2018.
Komen