Turki peroleh ASD9.2 bilion pelaburan dalam masa 10 bulan


Sebanyak ASD1.3 bilion daripada jumlah modal ekuiti masuk adalah dalam sektor pembuatan diikuti sektor pengantaraan kewangan dengan nilai US$931 juta. – Gambar EPA, 27 Disember, 2018.

TURKI menerima Pelaburan Langsung Asing (FDI) bersih sebanyak AS$9.16 bilion dari Januari hingga Oktober 2018, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik pengumuman Kementerian Industri dan Teknologi pada Khamis.

Menurut data rasmi, jumlah FDI bersih yang diterima negara itu ialah AS$1.05 bilion pada Oktober manakala jumlah FDI tertinggi disaksikan pada Jun dengan AS$1.3 bilion, dalam tempoh 10 bulan.

Mengenai pelaburan ekuiti, yang merupakan perkara utama dalam akaun pelaburan langsung luar negara, aliran masuk langsung ke Turki ialah kira-kira AS$4.8 bilion, dengan 66.4 peratus daripada jumlah ini adalah dari Kesatuan Eropah.

Semasa tempoh itu, Belanda (AS$578 juta), Itali (AS$491 juta) dan Austria (AS$449 juta) merupakan tiga sumber utama aliran masuk modal langsung dari Eropah.

Sementara itu, AS$1.06 bilion aliran masuk langsung adalah dari negara-negara Asia manakala AS$289 juta adalah dari Amerika Syarikat bagi tempoh yang sama.

Sebanyak AS$1.3 bilion daripada jumlah modal ekuiti masuk adalah dalam sektor pembuatan diikuti sektor pengantaraan kewangan dengan nilai AS$931 juta.

Termasuk 31 cawangan pejabat, sejumlah 5,934 firma yang disokong negara asing baharu telah ditubuhkan di Turki manakala 90 syarikat tempatan mendapat manfaat daripada peserta antarabangsa.

Tahun lepas, Turki menarik sejumlah AS$10.94 bilion sebagai FDI bersih dan AS$7.45 bilion sebagai aliran masuk pelaburan ekuiti. – Bernama, 27 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen