PEMILIHAN Bersatu tahun hadapan akan menentukan kepimpinan parti di era pasca-Dr Mahathir Mohamad, kata Presidennya Muhyiddin Yassin yang turut memberi isyarat bahawa beliau mungkin tidak pertahankan jawatannya bagi penggal berikutnya.
Muhyiddin, yang juga menteri dalam negeri, berkata tidak ada perbincangan sama sekali mengenai rancangan siapa yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan dan membiarkan isu itu ditentukan undian anggota dan perwakilan parti itu.
Beliau menyatakan bahawa semua jawatan, termasuk beliau akan terbuka untuk ditandingi dalam pemilihan pertama parti itu sejak ditubuhkan tiga dahulu.
“Tidak, kita (tidak) bincangkan langsung soal peralihan, kita tak bincangkan langsung, setakat hari ini, status quo masih Tun (Dr Mahathir Mohamad) pengerusi, saya presiden, Mukhriz (Mahathir) timbalan,” kata Muhyiddin menjelaskan sama ada parti itu telah meletakkan pengganti selepas Dr Mahathir meninggalkan jawatannya.
Dr Mahathir, yang juga perdana menteri kerajaan gabungan Pakatan Harapan, mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan dan menyerahkan gelaran itu kepada Anwar Ibrahim selepas tempoh lima tahun pentadbiran. Anwar adalah presiden PKR, ahli komponen gabungan Pakatan Harapan yang disertai Bersatu.
“Tahun depan kita ada pemilihan dan kita amalkan sistem demokrasi, siapa nak pilih siapa, nak jadi apa, itu serah pada perwakilan akan datang tahun depan. Pasti akan ada perubahan, kalau saya pun orang nak ambil alih, it’s okay, saya agak dah penat, tapi saya tahu saya ada tanggungjawab.
“Saya fikir ahli tahu apa mereka mahu dan kalau mereka fikir pemimpin sudah tak diperlukan, perlu diganti, mereka buat pilihan, mereka akan putuskan,” kata Muhyiddin dalam temubual khas menjelang Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu hujung minggu ini.
Bersatu adalah parti termuda dalam Pakatan Harapan (PH) yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin Umno seperti Muhyiddin, Dr Mahathir dan Mukhriz pada tahun 2016, bagi menentang kepimpinan bekas perdana menteri Najib Razak.
Ia menyertai gabungan PH bersama PKR, DAP dan Amanah untuk melawan Umno dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.
Spekulasi hangat mengenai siapa yang akan menggantikan Dr Mahathir dan Muhyiddin, yang sedang menjalani rawatan barah.
Dalam temu bual itu, Muhyiddin berkata perjuangan, ideologi dan budaya Bersatu akan tetap sama tanpa mengambil kira apa yang akan berlaku terhadap parti itu setelah kepimpinan bertukar.
“Selagi bulan dan bintang bersinar, Bersatu akan tetap sama. Pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi perjuangan parti akan berterusan.
“Dr Mahathir dah gariskan landasan dalam perlembagaan, gaya, bahasa, budaya ini semua satu panduan bagi pimpinan akan datang. Saya pun akan tinggalkan dalam satu tempoh tak berapa lama lagi, akan diambil orang baru. Tetapi parti itu akan terus berjalan tanpa mengira siapa yang akan memimpinnya.
“Apa yang penting adalah apa yang ditonjolkan parti itu, kita mesti konsisten dan jelas supaya rakyat terus menyokong kita.” – 28 Disember, 2018.
Komen