Australia kecewa keputusan Jepun teruskan pemburuan paus


Jepun mengumumkan bahawa negara itu telah memutuskan untuk menarik diri dari Suruhanjaya Pemburuan Ikan Paus Antarabangsa (IWC) – Gambar EPA, 27 Disember, 2018.

KERAJAAN Australia telah mengutuk keputusan Jepun yang berhasrat meneruskan pemburuan ikan paus bagi tujuan komersial, lapor agensi berita China Xinhua.

Jepun pada Rabu mengumumkan bahawa negara itu telah memutuskan untuk menarik diri dari Suruhanjaya Pemburuan Ikan Paus Antarabangsa (IWC), yang membawa maksud ia tidak lagi tertakluk di bawah peraturan IWC.

Pengunduran itu akan berkuat kuasa pada 30 Jun dan membuka laluan kepada Jepun untuk memulakan kembali pemburuan ikan paus secara komersial mulai Julai 2019.

Mengulas pengumuman itu, Menteri Luar Australia Marise Payne dan Menteri Alam Sekitar Melissa Price berkata Australia “amat kecewa” dengan keputusan tersebut.

“Keputusan mereka untuk menarik diri adalah dikesali dan Australia menggesa Jepun agar kembali ke konvensyen dan suruhanjaya sebagai satu perkara utama,” kata mereka dalam satu kenyataan pada Rabu.

“Australia tetap tegas menentang sebarang bentuk pemburuan ikan paus sama ada bagi tujuan komersial atau yang kononnya adalah bagi tujuan saintifik. Kami akan terus bekerja dalam suruhanjaya untuk menegakkan moratorium global dalam isu pemburuan ikan paus secara komersial.”

IWC telah memperkenal larangannya berhubung pemburuan ikan paus secara komersial pada 1982 namun Jepun telah menjalankan pemburuan ikan paus bagi tujuan saintifik sejak 1988.

Jepun pada September menggesa suruhanjaya itu agar menarik balik larangan tersebut namun telah ditolak. – Bernama, 27 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen