Korea Utara akui kelemahan sektor pertanian


Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB pada bulan ini berkata Korea Utara perlu mengimport 641,000 tan makanan pada tahun-tahun hadapan. – Gambar fail AFP, 27 Disember, 2018.

KOREA Utara mengakui “kelemahan” sektor pertaniannya tahun ini, seperti yang dilaporkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kemerosotan hasil tanaman negara itu yang masih bergantung kepada import dan bantuan makananan.

Pengeluaran hasil pertanian begitu kronik di Korea Utara yang dilanda kebuluran hingga menyebabkan ramai penduduknya mati pada 1990-an.

Pemimpin dalam Kabinet kerajaan, Pak Pong Ju merujuk kepada “kelemahan dari sesetengah ladang pada masa lepas” pada mesyuarat dengan pegawai-pegawai pertanian yang berlangsung di Pyongyang pada minggu ini, kata media tempatan pada Khamis.

Sejak Kim Jong Un menggantikan bapanya, Kim Jong Il pada 2011, Korea Utara terbuka mengakui kelemahan dan kegagalan dasar negara di media tempatan.

Pemimpin muda yang mendapat pendidikan di Switzerland itu juga dilaporkan sesekali menegur pegawai kerajaan yang gagal menjalankan tugas dengan memuaskan.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB pada bulan ini berkata Korea Utara perlu mengimport 641,000 tan makanan pada tahun-tahun hadapan. 

Angka ini meningkat berbanding 456,000 pada tahun ini, apabila ia mengimport 390,000 tan metrik dan menerima 66,000 tan bantuan makanan.

Korea Utara merupakan salah satu daripada 40 negara - 31 daripadanya di Afrika - yang dikenal pasti memerlukan bantuan makanan dari luar, kata FAO.

Agensi-agensi PBB menganggarkan 10.3 juta penduduk Korea Utara memerlukan bantuan kemanusiaan.  – AFP, 27 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen