PENDUDUK di sebuah pangsapuri di Sydney terpaksa diarahkan keluar ekoran bunyi retakan yang kedengaran pada blok bangunan setinggi 38 tingkat itu.
Arahan itu dikeluarkan buat kali kedua selepas 300 penduduk Opal Tower di Taman Olimpik Sydney diminta berbuat demikian pada Isnin, sehari sebelum sambutan Krismas.
Polis berkata bangunan itu mengalami pergerakan satu hingga dua milimeter dan siasatan lanjut mendapati berlaku keretakan pada tingkat 10.
Susulan itu, sepasukan jurutera dikerah dan bertungkus-lumus untuk memperbaiki masalah tersebut.
Proses membaik pulih kerosakan itu dijangka memakan masa sehingga 10 hari sebelum penduduk dibenarkan pulang ke rumah mereka.
Insiden itu menyebabkan penduduk berasa bimbang untuk pulang ke rumah masing-masing dan ada yang sanggup tidur di kereta sehingga kediaman mereka disahkan selamat untuk didiami.
Pihak pemaju Builder Icon berkata semua penduduk akan diberikan tempat tinggal sementara dan pampasan, manakala pasukan penyiasat daripada firma kejuruteraan global WSP dan syarikat pembinaan Jepun, Kajima akan mengetuai siasatan.
Pangsapuri Opal Tower itu dibuka pada awal tahun ini dan terletak berdekatan Taman Olimpik Sydney. – AFP, 27 Disember, 2018.
Komen