Eric Tsang kemalangan dengan pegawai kanan polis Hong Kong


Kereta yang dipandu oleh pelakon Eric Tsang Chi-wai bertembung dengan kenderaan membawa pegawai kanan polis Hong Kong di bandar pelabuhan Otaru di pulau Hokkaido, Jepun dua hari lalu. – Gambar AFP, 27 Disember, 2018.

PELAKON Hong Kong Eric Tsang Chi-wai terlibat dalam nahas jalan raya apabila kereta dipandunya bertembung dengan kenderaan membawa pegawai kanan polis tanah bekas jajahan itu di bandar pelabuhan Otaru di pulau Hokkaido, Jepun dua hari lalu, lapor South China Morning Post.

Beliau dilaporkan selamat. 

Pengarah Jenayah dan Keselamatan Hong Kong, Li Chi-hang bagaimanapun dikejarkan ke hospital menggunakan helikopter untuk dibedah selepas nahas di kawasan dilitupi salji itu, kata laporan tersebut.

Li yang bersama keluarga sedang dalam percutian hujung tahun dan Krismas, menaiki kenderaan tujuh penumpang ketika bertembung dengan kereta dipandu Tsang. 

Pelakon 65 tahun itu bersama seorang wanita berusia 40 tahun, yang identitinya tidak didedahkan.

Laporan yang memetik sumber itu menyebut Li dalam keadaan sedar semasa dipindahkan dengan helikopter tetapi dilaporkan kebas separuh badan ke bawah.

Isterinya juga dilaporkan cedera.

Laporan itu juga menyebut agensi kaji cuaca Jepun sebelum ini mengeluarkan amaran cuaca buruk di wilayah berkenaan.

Otaru mencatatkan salji sedalam 23 sentimeter pada hari kejadian dengan suhu di bawah 3.5 darjah Selsius. – 27 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen