KERAJAAN Jepun hari ini melaksanakan hukuman gantung terhadap dua lelaki yang didapati bersalah kerana membunuh, menjadikan jumlah pesalah yang menerima hukuman sama meningkat kepada 15 orang tahun ini.
Dengan lebih 100 banduan masih menunggu hukuman mati, Jepun merupakan antara segelintir negara membangun yang masih mengekalkan hukuman itu.
Malah sokongan umum juga kekal tinggi walaupun masyarakat antarabangsa termasuk kumpulan hak asasi mengkritik pelaksanaan hukuman itu.
Menteri Kehakiman Takashi Yamashita berkata dua lelaki yang dihukum gantung itu adalah Keizo Kawamura, 60, dan Hiroya Suemori, 67, yang didapati bersalah membunuh seorang pengarah dan seorang pekerja sebuah syarikat pelaburan pada 1988.
Kedua-dua pesalah itu didapati mencuri 100 juta yen sebelum menanam mayat mangsa dalam konkrit di kawasan pergunungan.
Hukuman mati itu dijatuhkan ke atas mereka pada 2004.
Takashi berkata beliau mengarahkan pelaksanaan hukuman itu selepas mengambil kira pelbagai aspek pertimbangan dan menyatakan dengan jelas bahawa Jepun tidak akan memansuhkan hukuman itu dalam tempoh terdekat.
Tahun ini sahaja, seramai 15 banduan dihukum mati di Jepun, sekali gus menyamai jumlah pada 2008 selepas negara itu secara terbuka mengumumkan pelaksanaan hukuman itu sejak 1998.
Hukuman terbaru itu dilaksanakan hanya lima bulan selepas beberapa ahli kumpulan kultus dikenakan hukuman sama kerana bersalah melancarkan serangan maut gas sarin pada 1995 dan beberapa kesalahan jenayah lain. – AFP, 27 Disember, 2018.
Komen