Keluar kata ugutan, Azwanddin direman 4 hari


Asila Jalil

Presiden JMM Azwanddin Hamzah diiringi anggota polis ketika tiba di Mahkamah Majistret Klang hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Disember, 2018.

PRESIDEN Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah ditahan reman empat hari untuk membantu siasatan berhubung lapan laporan polis terhadapnya bersabit beberapa kenyataannya yang kontroversi, kata peguam.

Perintah reman sehingga Ahad dikeluarkan Mahkamah Majistret Klang. 

“Beliau ditahan semalam dan hari ini dikenakan perintah reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Ahad.

“Saya dimaklumkan terdapat beberapa laporan dibuat ke atasnya,” kata peguamnya, Mohd Imran Tamrin.

Beliau kemudiannya berkata terdapat lapan laporan polis dibuat terhadap Azwanddin dan antaranya termasuk daripada seorang pegawai ibu pejabat polis daerah Klang.

Semalam, Azwanddin ditahan polis di pusat beli belah Keramat Mall selepas beliau dipercayai mengeluarkan kenyataan berbaur ugutun sehari sebelumnya.

Azwanddin dipercayai berbuat demikian ketika berucap pada satu perhimpunan aman di Klang untuk menggesa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad agar memecat Menteri Perpaduan Waytha Moorthy.

Dalam ucapannya, Azwanddin berulang kali menggunakan kenyataan menghina P. Waytha Moorthy selain mengancam untuk menyerang balai polis jika tiada tindakan diambil berhubung kematian anggota bomba Muhamamd Adib Mohd Kassim dalam insiden rusuhan kuil di Seafield.

Azwanddin disiasat polis mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengeluarkan ugutan jenayah dan boleh dikenakan hukuman penjara antara dua hingga tujuh tahun jika didapati bersalah. – 27 Disember, 2018.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen