MCA, Gerakan tidak lagi relavan buat masyarakat Cina, kata penganalisis


Khoo Gek San

Kerjasama antara MCA dan Gerakan pada PRU14 lalu gagal meraih sokongan masyarakat Cina terhadap BN, sekali gus menyaksikan blok kerajaan itu tumbang kepada Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2018.

SELEPAS tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), MCA dan Geraka hilang kepercayaan dalam kalangan masyarakat Cina, terutamanya MCA yang sekian lama menjadi jaguh komuniti itu.

Kebanyakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina yang sebelum ini meminta bantuan daripada kedua-dua parti itu, kini beralih arah kepada parti pemerintah terutamanya DAP, kata penganalisis.

“MCA dan Gerakan kini adalah parti pembangkang dan mempunyai sumber politik yang amat terhad, jadi tidak hairan NGO Cina kini beralih arah ke parti pemerintah,” kata Tang Ah Chai.

Bekas ketua pegawai eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur itu berkata DAP tidak boleh memandang mudah undian yang diberikan oleh masyarakat Cina pada PRU14 lalu kerana mereka boleh kembali memilih MCA dan Gerakan.

Tang berkata masyarakat itu sentiasa bersikap pragmatik, lebih gemar memilih untuk berkhidmat dengan parti pemerintah, dan kini mereka melihat peranan DAP menyamai MCA yang sebelum ini berada dalam kerajaan.

Penganalisis sosial Koh Kok Wee berkata walaupun DAP dan PKR bukan parti berasaskan kaum Cina, masyarakat itu meletakkan harapan kepada menteri atau timbalan menteri dari kaum itu.

“Pilihan pertama adalah pemimpin Cina dari DAP. Tetapi kini DAP lebih lantang tentang soal kepelbagaian kaum, sekali gus menolak tanggapan bahawa ia merupakan parti Cina.

“Jadi apabila melibatkan isu orang Cina, parti itu tidak boleh dilihat terlalu mengambil berat atau hanya fokus terhadap isu masyarakat itu walaupun mereka perlu menyelesaikannya. Perkara ini mungkin tidak disedari oleh masyarakat Cina,” kata Koh.

Masyarakat Cina lebih gemar memilih untuk berkhidmat dengan parti pemerintah, dan kini mereka melihat peranan DAP menyamai MCA yang sebelum ini berada dalam kerajaan. – Gambar EPA, 30 Disember, 2018.

Seorang lagi penganalisis Cheah See Kian berkata masih terlalu awal untuk mengatakan DAP merupakan jaguh masyarakat Cina walaupun MCA tidak lagi memegang peranan itu.

“Setakat ini, jika masyarakat Cina berdepan masalah, mereka tidak boleh merujuk MCA atau Gerakan. Jadi mereka perlu meminta tolong DAP, tetapi parti itu mungkin tidak bersedia melakukannya.

“Masyarakat Cina perlu mencari jalan lain untuk menyuarakan masalah mereka.”

Berdasarkan barisan Kabinet, DAP mempunyai wakil dalam Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Pertahanan, Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Asli dan lain-lain.

Senarai itu menunjukkan wakil DAP memegang lebih banyak jawatan berbanding MCA ketika zaman kemuncaknya bersama Barisan Nasional.

Ini menunjukkan DAP boleh memenuhi keperluan rakyat daripada pelbagai aspek.

Mengikut senarai itu juga, DAP memegang beberapa portfolio yang sebelum ini diisi oleh MCA dan Gerakan.

Perkembangan itu secara tidak langsung membuatkan rakyat yang meminta bantuan daripada MCA dan Gerakan sebelum ini, beralih kepada DAP. – 30 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen