PRESIDEN Donald Trump ketika melakukan lawatan mengejut pertamanya ke zon konflik di Iraq semalam tetap mempertahankan keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk berundur dari Syria sekali gus mengisytiharkan berakhirnya peranan AS sebagai “polis dunia”.
Ia kunjungan pertamanya ke pangkalan tentera udara AS itu sejak dilantik sebagai presiden dua tahun lalu.
Trump tiba di Al-Asad di barat Iraq pada kira-kira 7.16 petang semalam ditemani isterinya, Melania.
Beliau bertemu lebih 100 anggota pasukan khas AS dan turut mengadakan pertemuan berasingan dengan pemimpin tentera sebelum berlepas beberapa jam kemudian.
Pertemuan awal yang dijadualkan dengan Perdana Menteri Iraq Adel Abdel Mahdi turut dibatalkan dan digantikan dengan perbualan di telefon, kata pejabat pemimpin itu.
Trump dikritik hebat selepas enggan melawat anggota tentera AS di pangkalan berkenaan sejak dilantik sebagai presiden.
Spekulasi yang tersebar sebelum ini terbukti benar apabila Trump akhirnya berkunjung ke Al-Asad susulan keputusan kontroversi beliau untuk mengurangkan tentera AS di Afghanistan dan berundur sepenuhnya dari Syria.
“Tidak adil untuk kita menanggung semua bebanan itu. Kita tidak mahu negara-negara terbabit terus mempergunakan kehebatan ketenteraan kita untuk melindungi mereka. Ini mengarut,” katanya. – AFP, 27 Disember, 2018.
Komen