PASUKAN mencari dan menyelamat Indonesia berusaha keras menyelamatkan komuniti dari beberapa pulau terpencil, susulan bencana tsunami gunung berapi yang setakat ini mengorbankan lebih 400 nyawa.
Tetapi hujan lebat menjejaskan usaha mereka dan menyukarkan lagi kerja menyelamat di wilayah itu, ketika pihak berkuasa memberi amaran bahawa kemungkinan ada ombak pembunuh di kawasan terbabit.
Agensi bencana mengingatkan penduduk supaya menjauhi pesisir pantai, ketika aktiviti baharu dikesan di gunung berapi Anak Krakatoa di tengah Selat Sunda antara kepulauan Jawa dan Sumatera, dan ia mungkin mencetuskan tsunami lagi.
Agensi itu berkata angin membawa debu dan pasir dari Anak Krakatoa ke beberapa kawasan berhampiran seperti Cilegon dan Serang, Jawa. Penduduk juga dinasihatkan memakai topeng atau cermin mata di luar rumah.
Difahamkan, sebahagian kawah gunung itu runtuh selepas letusan dan jatuh ke dalam laut sebelum ia mencetuskan gelombang ombak maut, malam Sabtu lalu.
Tsunami itu melanda tanpa amaran, memusnahkan beberapa pantai popular selain menenggelamkan deretan hotel dan penduduk pesisir pantai sehingga menyebabkan banyak kematian dan kemusnahan.
Agensi bencana berkata jumlah kematian meningkat kepada 430 orang, semalam dengan 1,495 mangsa lain cedera dan 159 lagi hilang sementara hampir 22,000 penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan. – AFP, 27 Disember, 2018.
Komen