SEBELUM akhir Mac 2019, pusat latihan Umno di Janda Baik akan dibuka kepada semua pihak sebagai tempat penginapan komersial, dalam usaha parti mengurangkan kos operasi selepas hilang kerajaan sejak Mei lalu.
Selepas kekurangan dana dan kehilangan sumber, Umno membuka Institut Latihan Memperkasa Ummah (Ilmu) kepada orang awam, pertubuhan atau syarikat baik untuk bercuti atau aktiviti membina semangat dan mengukuhkan pasukan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Putrade Property Management Sdn Bhd, Shamsul Kamar Ahmad berkata, tempat itu selepas ini mungkin dikenali sebagai Ilmu Resort.
“Kami baru ambil alih, mungkin pengubahsuaian semula ambil masa beberapa bulan sebelum boleh dibuka kepada umum. Kita jangkakan siap pada Mac nanti,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Ilmu selama ini dijadikan pusat pengkaderan dan latihan perang saraf Umno serta program tertutup berkaitan dengan parti. Ia hanya digunakan eksklusif untuk Umno, tidak pernah dibuka kepada orang luar.
The Malaysian Insight difahamkan kali terakhir program dijalankan di Ilmu pada Oktober lalu.
Shamsul berkata Ilmu yang selama ini diselia oleh Umno sendiri telah diserahkan kepada Putrade, syarikat yang turut menguruskan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Menara Dato Onn yang menempatkan ibu pejabat parti.

Beliau berkata dengan pengubahsuaian fungsi Ilmu, Putrade kini akan menanggung sepenuhnya kos operasi pusat tersebut daripada hasil yang dijana melalui aktiviti komersial.
“Selama ini Umno menguruskan sendiri Ilmu. Sekarang Putrade ambil alih untuk diuruskan secara komersial. Cadangan untuk dijadikan resort dan pusat latihan sesuai untuk diadakan mesyuarat, persidangan, hari keluarga dan juga pusat latihan.
“Di sini sesuai kerana ada pelbagai jenis bilik seperti rumah tiga bilik, bilik-bilik dan bilik asrama. Budak sekolah atau pelajar universiti juga boleh datang untuk ambil bahagian dalam aktiviti seperti bina semangat,” katanya.
Program yang dijalankan di Ilmu diselama ini ditanggung sepenuhnya oleh parti. Namun selepas tewas PRU14 Mei lalu, Ilmu semakin lengang disebabkan kekangan kewangan apabila akaun parti dibekukan oleh kerajaan.
Sementara itu penduduk kampung sekitar yang ditemui The Malaysian Insight melihat penukaran status Ilmu itu sesuatu yang positif untuk masyarakat setempat.
“Ilmu ada dewan besar, tempat letak kereta luas, mudah untuk orang kampung buat kenduri kahwin.
“Bila sudah dibuka untuk orang luar, adalah rezeki lebih untuk orang yang buka kedai makan. Dulu orang yang datang program Umno tidak boleh keluar sampai program habis,” kata Mohd Jafri Ibrahim, yang membuka kedai runcit di Janda Baik.

Mohd Zahir Ibrahim, 62, berkata beliau tidak melihat penukaran fungsi Ilmu kepada pusat peranginan akan menjejaskan chalet yang diusahakan oleh penduduk kampung.
“Sebenarnya lagi banyak lagi baik. Masa tidak banyak chalet dulu, pengunjung pun tidak ramai macam ini.
“Sekarang kalau orang hendak harap dengan chalet yang sedia ada pun tidak tertampung juga. Kalau musim cuti sekolah macam ini jangan haraplah ada chalet kosong.
“Ada hotel di sini 140 bilik pun penuh selalu, tidak cukup. Dari yang murah RM50 semalam hinggalah RM3,000 semalam pun ada,” katanya. – 27 Disember, 2018.
Komen