Krisis nuklear Fukushima, tiga bekas eksekutif dihukum penjara


TIGA bekas pegawai eksekutif syarikat yang mengendalikan loji nuklear Fukushima, bakal dikenakan hukuman penjara selama lima tahun susulan kecuaian mereka semasa bencana tsunami melanda negara itu pada 2011.

Bekas pengerusi Tokyo Electric Power (Tepco) Tsunehisa Katsumata dan dua bekas naib presiden Sakae Muto dan Ichiro Takekuro sebelum ini didakwa atas kecuaian yang menyebabkan kematian dan kecederaan dalam bencana tersebut.

Pihak pendakwa raya berkata ketiga-tiga mereka menyedari tentang maklumat yang menunjukkan risiko loji nuklear itu dilanda ombak tsunami melebihi ketinggian 15 meter yang boleh menyebabkan kehilangan kuasa dan insiden yang lebih teruk.

“Mereka sepatutnya menghentikan operasi loji nuklear itu sehingga syarikat tersebut mengambil langkah antitsunami, termasuk pembinaan dinding penahan air,” kata pihak pendakwa raya kepada Mahkamah Daerah Tokyo hari ini.

Katsumata, 78, berkata pada perbicaraan itu beliau tidak mampu menjangkakan ketinggian ombak tsunami yang menyebabkan kerosakan dalam bencana itu pada Mac 2011.

Insiden itu menyebabkan puluhan ribu penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan reaktor, dipindahkan ke lokasi lebih selamat.

Selepas tujuh tahun berlalu, masih ramai tidak berani pulang ke rumah masing-masing ekoran bimbang ancaman radiasi.

Dakwaan terhadap ketiga-tiga bekas bos syarikat itu dikaitkan dengan kematian lebih 40 penduduk akibat bencana itu.

Dalam kejadian tsunami itu yang berpunca akibat gempa bumi, lebih 18,500 dilaporkan orang maut atau hilang, tetapi insiden di Fukushima tidak pernah merekodkan secara rasmi menjadi punca kematian puluhan penduduk.

Satu laporan Parlimen setahun selepas bencana itu menyebut Fukushima merupakan krisis yang berpunca akibat kelalaian manusia, bukannya bencana. – AFP, 26 Disember, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen