DUA individu yang menyimpan replika senjata mencetuskan situasi panik di Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris hari ini.
Kedua-dua individu itu ditahan serta-merta selepas polis menerima maklumat daripada penumpang yang ternampak senjata tersebut.
Susulan kejadian itu, para penumpang diarahkan mengosongkan Terminal 2 selama 45 minit untuk pemeriksaan lanjut pihak berkuasa.
Sumber polis melaporkan, seorang penumpang memaklumkan pihak berkuasa apabila ternampak dua orang dewasa yang tidak bercakap Perancis membawa senjata dalam beg.
Skuad pemusnah bom turut dikerah ke terminal itu untuk memeriksa sebuah beg yang ditinggalkan tanpa jagaan.
Siasatan lanjut pihak polis mendapati senjata berkenaan merupakan pistol angin yang digunakan dalam sukan menembak.
Pihak berkuasa lapangan terbang Perancis melabelkan senjata berkuasa angin sebagai berbahaya dan dilarang dibawa menaiki pesawat. – AFP, 26 Disember, 2018.
Komen